Suara

Terkini
10/4/23
Isu
Selangor
Bantuan

Sinar Harian: Ribut - Selangor salur bantuan segera

SUBANG JAYA - Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam proses menguruskan bantuan kepada mangsa ribut membabitkan dua daerah di Puchong dan Sepang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, secara keseluruhan terdapat 50 lokasi terlibat membabitkan 122 keluarga terjejas dalam kejadian pada Sabtu.

Beliau memberi jaminan bantuan melalui kerja baik pulih termasuk penggantian bumbung pangsapuri dan unit terlibat akan diselesaikan sebelum tiba Syawal.

"PBT akan menguruskan bantuan di kawasan pangsapuri yang bumbungnya tercabut.

"PBT akan lantik kontraktor dalam masa terdekat dan Insya-ALLAH sebelum hari raya kerosakan tersebut akan siap dibaiki," katanya ketika ditemui pada Program Agihan Kupon PLATS Rahmah 2023 di Bazar Ramadan USJ4 di sini pada Ahad.

Pada Sabtu daerah Petaling dan Sepang terjejas dengan ribut menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang dan bumbang terbang dilaporkan.

Amirudin berkata, PBT akan melaksanakan terlebih dahulu kerja baik pulih itu sebelum memohon bantuan pusat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menyediakan peruntukan RM35 juta bagi selenggara rumah kos rendah di Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pada masa sama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyediakan peruntukan RM300, 000 untuk salur bantuan kepada rumah atas tanah (landed) yang terkesan.

"PBT akan uruskan pangsapuri sementara MBI bantu rumah 'landed'. Sasaran saya mangsa akan dibantu dalam masa seminggu atau selewatnya 10 hari," katanya.

Beliau turut memaklumkan,hanya sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan sebuah keluarga melibatkan tujuh mangsa di daerah Sepang susulan kejadian ribut berkenaan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.