Media

Terkini
4/4/24
Selangor

Sinar Harian: MAIS teruskan tradisi beri duit raya kepada anak yatim

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan duit raya bagi menambah kegembiraan anak-anak yatim dalam menyambut Syawal.

Sumbangan disalurkan pada setiap tahun ini bertujuan membantu meringankan beban dan menambah keceriaan mereka dalam menjalani ibadah puasa serta persiapan menyambut Syawal.

Setiausaha MAIS, Ahmad Shahir Makhtar berkata, seramai 129 orang anak-anak yatim di Rumah Kasih Harmoni menerima sumbangan tersebut melalui peruntukan Baitulmal MAIS.

"Penyerahan sumbangan disampaikan Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sempena program agihan bubur lambuk MAIS bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS di Paya Jaras di sini," ujarnya pada Rabu.

Seramai 129 orang anak-anak yatim di Rumah Kasih Harmoni menerima sumbangan duit raya melalui peruntukan Baitulmal MAIS

Seramai 129 orang anak-anak yatim di Rumah Kasih Harmoni menerima sumbangan duit raya melalui peruntukan Baitulmal MAIS

Sempena Ramadan tahun ini, MAIS turut mengadakan program gotong royong memasak dan mengagihkan sumbangan sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk kepada rumah anak yatim di sekitar Selangor.

Ahmad Shahir berkata, sumbangan bubur lambuk itu kemudiannya diagihkan kepada Rumah Kasih Harmoni, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur dan Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Damai, Kuang,

"Menariknya lagi, edaran bubur lambuk turut diagihkan kepada masyarakat setempat yang berdekatan.

"Program bertujuan sebagai inisiatif MAIS untuk mengimarahkan bulan Ramadan dan mengeratkan hubungan silaturahim di samping berkongsi rezeki dengan komuniti setempat terutama kepada penghuni rumah anak yatim," ujarnya.

Pada 16 Mac lalu, MAIS memperuntukkan dana sumbangan berjumlah RM600,000 bagi tahun 2024 dalam menyantuni kebajikan seramai 11,386 orang anak yatim yang berdaftar di seluruh negeri Selangor.

Dana sumbangan itu diberikan menerusi peruntukan Baitulmal MAIS kepada Yayasan Islam Darul Islam (YIDE) iaitu anak syarikat MAIS yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim sekitar Selangor.

MAIS berharap bantuan sumbangkan dapat dimanfaatkan untuk pengurusan rumah anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE di samping dapat memelihara kebajikan dan hal ehwal pengurusan anak yatim di Negeri Selangor.

    Seterusnya
    #KITASELANGOR
    Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
    Terima kasih!
    Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
    Maaf! Ada ralat.