Inisiatif

Terkini
26/11/21
Selangor
Belanjawan Selangor 2022
KDNK

Berita Harian TV: Tiga firma aeroangkasa global minat beroperasi di Selangor

SHAH ALAM: Selangor terus mengukuhkan statusnya sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan serantau apabila tiga syarikat berkaitan penerbangan antarabangsa termasuk satu dari Turki berminat untuk membuka operasi mereka di negeri itu.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, syarikat dari Turki itu ialah pengeluar helikopter, Gokbey yang kini sedang dalam proses mencari kawasan yang sesuai untuk membangunkan kilang pengeluaran helikopter mereka di negeri ini.

Katanya, dua lagi syarikat masih di peringkat awal dan sehubungan itu beliau tidak boleh lagi mendedahkan nama mereka.

"Kedua-dua syarikat ini masih mencari masa yang sesuai sebelum mereka membuat pengumuman mengenai hasrat untuk membuka operasi di Selangor.


"Mereka sentiasa berhubung rapat dengan kamai menerusi Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) yang membantu mencari kawasan yang sesuai di samping turut membantu dalam proses mendapatkan kelulusan dan lesen untuk beroperasi di sini," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Pameran Penerbangan Selangor 2021 (SAS2021) di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang dilakukan secara maya.

Pameran yang julung kali diadakan di Selangor itu dipercayai antara pameran udara pertama yang dianjurkan di rantau ini sejak pandemik melanda pada tahun lalu.

Bertemakan 'Selangor, Hab Penerbangan Perniagaan dan Am ASEAN', SAS2021 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menumpukan industri penerbangan am dan perniagaan terutama di Selangor dan berjaya menarik peserta antarabangsa dari Brazil, Perancis, Turki dan Amerika Syarikat.


Mengulas lanjut Chang Khim berkata, Selangor mempunyai potensi dan terus menjadi tempat tarikan utama kepada industri penerbangan khususnya pembuatan dan juga penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) sekali gus memajukan industri sampingan.

"Kita akan membina satu ekosistem yang erat dan kukuh di Selangor untuk menjadikan negeri ini sebagai hab serantau untuk penerbangan khususnya penerbangan perniagaan dan penerbangan am," katanya.


Terdahulu Amirudin ketika berucap pada majlis perasmian berkata, lebih banyak aktiviti penerbangan diperlukan di peringkat tempatan untuk merangsang pertumbuhan dan membina semula kegiatan pembuatan aeroangkasa, lapangan terbang dan syarikat penerbangan untuk perniagaan dan sektor penerbangan am di Malaysia.


Beliau berkata, cabarannya adalah untuk mengembangkan aktiviti penerbangan di dalam negara dan menarik lebih banyak kehadiran jet perniagaan antarabangsa ke Malaysia, khususnya ke Lapangan Terbang Subang.


""Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak jadi kami mengharapkan anda (pemain industri) untuk menyokong usaha ini untuk membawa lebih banyak penerbangan ke ruang udara kami.


"Peningkatan aktiviti penerbangan akan meningkatkan rantaian bekalan ekosistem industri penerbangan di Selangor. Ini termasuk penyedia perkhidmatan darat, MRO dan penyedia perkhidmatan kejuruteraan, organisasi kru penerbangan, penyedia latihan serta perkhidmatan profesional daripada profesion perundangan, kewangan dan percukaian," katanya.




Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.