Media

Terkini
23/5/22
Isu
Selangor
Bantuan

Berita Harian: Ladang jagung bijirin terbesar negara dijangka mula operasi Julai

SEREMBAN: Projek tanaman jagung bijirin di tapak projek ternakan lembu yang terbengkalai 'National Feedlot Corporation' (NFC) di Gemas, dekat sini, dijangka bermula Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir, berkata proses untuk memulakan kerja di tapak sedang disiapkan kedua-dua pihak yang bekerjasama menjayakan projek itu.

"Sekiranya dalam tempoh sebulan ini, kita dapat memuktamadkan urusan berkaitan dengan Kerajaan Selangor, khususnya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), sebulan selepas itu kerja di tapak sudah boleh dilakukan.

"Buat permulaan, kerja membabitkan pembersihan di tapak kerana kawasan itu sudah terbiar lama. Hasil pertama mungkin dituai dalam tiga bulan selepas ditanam atau mungkin hujung tahun ini, mengambil kira jagung bijirin boleh dituai dalam tempoh 100 hari atau tiga bulan selepas ditanam," katanya.

Ditemui media selepas Majlis Jamuan Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini, Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Klawang, berkata projek di Gemas itu akan dijadikan perintis sebelum diperluaskan ke kawasan lain yang sesuai.

"Setakat ini kita belum kenal pasti tapak lain kerana projek skala besar ini memerlukan tanah rata. Jika kawasan berbukit, ia memerlukan kos operasi yang tinggi," katanya.

Rabu lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) akan membangunkan tapak projek ternakan lembu NFC terbengkalai di Gemas, dengan tanaman jagung bijirin dengan usaha sama kerajaan Selangor melalui PKPS.

Buat permulaan, projek tanaman jagung bijirin itu akan membabitkan kawasan seluas kira-kira 160 hektar daripada keseluruhan lebih 600 hektar, sekali gus menjadi projek pertanian dianggap yang terbesar di Negeri Sembilan.

Mengenai harga lembu korban yang dijangka meningkat sehingga lebih 30 peratus menjelang Aidiladha tidak lama lagi, Bakri berkata, perkara itu tidak boleh dielakkan kerana penternak ketika ini menanggung kos operasi yang tinggi sejak kenaikan harga makanan ternakan serta ubat-ubatan.

"Jika tahun lalu, mungkin kadar bagi satu bahagian lembu korban bawah RM700, tetapi tahun ini boleh mencecah lebih RM800," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.