Media

COVID-19
26/2/21
Isu
Selangor
Negara

Utusan Malaysia: Selangor terima 78,000 dos vaksin

Berita terbit di utusan.com.my pada 25 Februari 2021.

SHAH ALAM: Sebanyak 78,000 dos vaksin Pfizer-Biontech diterima kerajaan negeri dalam Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Selangor, bermula hari ini.

Dalam pelancaran program itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari antara 42 individu yang menerima suntikan vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman; Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan barisan Exco kerajaan negeri turut menerima suntikan daripada vaccinator Pejabat Kesihatan Daerah Petaling yang dilakukan di Hospital Shah Alam.

Noor Azmi ketika berucap berkata, sebanyak enam buah hospital di Selangor yang menjadi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dengan kemudahan Ultra Low Temperature Freezer iaitu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Tanjong Karang.

“Setakat ini, seramai 1,979 vaccinators telah dikenali pasti di seluruh Selangor bagi memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima vaksin.

“Kita juga sedang mengenalpasti kemudahan di daerah untuk dijadikan tempat pemberian vaksin berskala besar bagi pelaksanaan pemberian imunisasi Covid-19 bagi fasa dua dan fasa tiga,” ujarnya.

Sementara itu, Amirudin dalam sidang akhbar berkata, daripada 78,000 dos yang diterima, sebanyak 66,690 diperuntukkan untuk petugas barisan hadapan.

Jelasnya, untuk permulaan, vaksin tersebutm diberikan kepada 31,000 petugas kesihatan awam di negeri itu dalam fasa berkenaan. Kemudian suntikan akan diikuti petugas kesihatan swasta dan anggota keselamatan negeri yang dijangka berlangsung sehingga Mei.

“Exco negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai daerah dan ahli majlis daerah juga akan menerima vaksin pada fasa pertama.

“Malah, kita juga kini sedang mendapatkan senarai guru untuk menerima vaksin dalam fasa pertama setelah mengambil kira sesi persekolahan bermula bulan hadapan,” katanya.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri sedang mempercepatkan fasa pertama program itu supaya rakyat negeri itu dapat menerima vaksin secepat mungkin.

“Kita juga sedang berbincang Yang Di-Pertua majlis daerah dan pegawai daerah untuk menambah lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin untuk kegunaan fasa kedua dan ketiga,” katanya. – UTUSAN ONLINE


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.