Suara

Peristiwa
12/9/22
Isu
Selangor

Utusan Malaysia: PH Selangor masih runding kerusi disandang Bersatu

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) masih membincangkan kedudukan empat kerusi disandang wakil daripada Parti Bersatu yang sebelum ini bertanding atas tiket PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14  (PRU14) di Selangor.

Bagaimanapun, pembahagian kerusi 52 DUN lain dan 22 Parlimen sudah pun di selesaikan parti gabungan DAP, PKR dan Amanah itu.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, susulan pembahagian tersebut, PH dijangka menyelesaikan pencalonan di setiap kerusi selewat-lewatnya hujung bulan ini atau awal Oktober.

“Calon-calon itu, kita kebanyakannya penyandang, tetapi muka-muka baharu juga ditonjolkan. Bergantung keputusan jawatan kuasa pemilihan parti dan jawatan kuasa calon parti, akhirnya dimuktamadkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden).

“Sebahagiannya adalah kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Bersatu. Jadi, saya tak perlu sebutkan sebab dalam perbincangan lagi, biar selesai dahulu. Saya yakin, sebelum akhir September atau awal Oktober kita boleh selesaikan,” katanya ditemui, hari ini.

Pasca PRU14, terdapat enam kerusi DUN kini disandang Bersatu dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dahulu ditandingi mereka atas tiket PKR pada Mei 2018.

Yang disandang Bersatu adalah seperti Bukit Antarabangsa, Gombak Setia, Selat Klang dan Dengkil sementara Pejuang pula Jeram dan Kuang.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, rundingan terhadap kerusi disandang Bersatu selepas DAP berhasrat menambah bilangan wakilnya di kawasan-kawasan tersebut.

“Itu sedang dibincangkan kerana sudah pasti, kerusi-kerusi yang dibincangkan adalah kerusi tambahan daripada Bersatu dan banyak kawasan-kawasan terlibat adalah yang mempunyai penduduk Melayu terbesar. Namun , DAP juga menang di kawasan-kawasan based Melayu yang besar contohnya di Dusun Tua dalam pilihan raya lepas.

“Masyarakat yang kosmopolitan di Selangor ini, sikapnya lebih terbuka dan tidak mudah termakan dengan permainan politik kaum yang sempit dan setelah tiga penggal Selangor di bawah Pakatan Rakyat dan PH, program pembangunan masyarakat Islam dan Melayu di kampung tradisi terus segar dan tidak ada kebimbangan cuba ditakutkan oleh pihak lain,” ujarnya. – UTUSAN

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.