Suara

Ucapan
25/12/19
Perayaan

Ucapan Hari Natal 2019

Ribuan tahun dahulu, seorang insan istimewa telah lahir di Nazareth dan membawa mesej keamanan, persaudaraan dan cinta. Kehidupan baginda mencetuskan perubahan yang tidak sedikit malahan ia menyentuh banyak sendi kehidupan kita: seni rupa, seni muzik, malahan budaya secara amnya.

Pesan-pesan Jesus Christ atau Isa A.S untuk sentiasa menjaga yang sakit, memberi makan pada yang lapar, dan mengalu-alukan tetamu tanpa mengira latar belakang memberi kesan yang besar kepada perjalanan sejarah dan kemanusiaan seluruhnya. Pesan-pesan baginda telah menambat hati ramai daripada timur tengah ke benua eropah sehingga ke rantau nusantara kita semenjak Ferdinand Magellan menjejak kakinya di Filipina pada tahun 1521.

Semangat beragama yang bermula dengan kehangatan "passion of Christ" dan dimanifestasi dalam pelbagai bentuk, daripada pilgrimage Via Dolorosa yang melelahkan di timur tengah atau prosesi Nazareno di Filipina yang mengesankan hingga ke kerja-kerja amal Mother Theresa, memberi nafas bertenaga yang sangat bermakna buat lebih 2.18 bilion penganut Kristian daripada pelbagai mazhab di seluruh dunia, khususnya sekitar 2.6 juta pengikut Jesus di seluruh Malaysia.

Untuk "melayan seseorang seperti mana kita ingin dilayani” menjadi pegangan golongan Kristian semenjak sekian lama dan telah menjadi tema besar sebagai apa yang dipanggil sebagai Golden Rule dalam perkembangan moral dan etika. Dan pegangan ini mendasari kebanyakan agama besar di dunia.

Saya percaya itulah antara mesej serta pesan yang cuba dibawa pada musim perayaan Krismas ini. Masing-masing bercuti dan meluangkan masa untuk merapatkan hubungan sesama adik-beradik, sanak famili juga jiran tetangga dalam rasa persaudaraan, kasih sayang dan keharmonian. Kerukunan inilah yang menjadi resipi kejayaan Malaysia selama lebih 62 tahun. Kedamaian yang kita capai ini haruslah dipertahankan, seperti titah baginda Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-74 baru-baru ini.

Untuk itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal untuk semua penganut Kristian daripada pelbagai latar belakang, sama ada Cina, India, Serani mahupun bumiputera Sabah-Sarawak. Merry Christmas juga kepada tetangga Kristiani di Indonesia dan juga penganut Katolik terbesar di Filipina. Semoga kita semua diberkati Tuhan hendaknya.

#SelangorMajuBersama

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.