Suara

Pendapat
1/9/22
Selangor
Perayaan

Sinar Harian: Raikan kepelbagaian, bina identiti nasional - MB Selangor

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan rakyat harus memugar semula semangat kebangsaan yang berteraskan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan antaranya menjamin kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Akan tetapi kita juga sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan turut menjamin kebebasan kehakiman, kewibawaan Parlimen, hak asasi individu rakyat Malaysia dan kedaulatan perlembagaan.

"Kita tidak boleh bersikap juz’i-juz’i, serpihan, ambil yang itu dan tinggalkan yang ini. Kita mesti mengambil secara syumul, menyeluruh," katanya dalam sebahagian perutusan dikongsi Media Selangor sempena sambutan Hari Kebangsaan, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut meminta rakyat untuk sama-sama mengimbau semula akan cita-cita penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 dan beliau berpandangan cita-cita itu adalah untuk mewujudkan suatu identiti nasional.

Menurutnya, jelas dokumen dasar tersebut menyatakan bahawa kebudayaan Melayu merupakan teras kepada kebudayaan nasional, ia bukanlah bermaksud suatu ketuanan yang rakus berkuasa sehingga menyisihkan prinsip-prinsip keadilan.

"Justeru, tatkala kita membela nasib orang Melayu yang terpinggir, jangan sesekali culas atau alpa untuk membela peniaga kecil Cina yang bertungkus-lumus membina semula hidup pascapandemik atau anak India yang mati dalam tahanan.

"Oleh kerana itu juga, tatkala kita terkesan dengan orang Melayu yang bersusah payah membina kehidupan, kita juga tidak boleh sama sekali memejam mata akan keperitan hidup sahabat-sahabat kita di Sabah atau Sarawak.

Amirudin berkata, perkara kedua Dasar Kebudayaan Kebangsaan turut menegaskan bahawa unsur-unsur kebudayaan lain juga membentuk sebahagian dari identiti nasional tersebut.

"Kita mesti meraikan kepelbagaian. Almarhum Dr. Siddiq Fadzil pernah menulis:"Perbezaan tidak bererti permusuhan, tetapi kekuatan dan kekayaan budaya.” Lafaz ‘lita’arafu’ dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang biasanya diterjemahkan sebagai"untuk saling mengenal” menurut beliau,"pasti ada kelanjutannya iaitu saling bekerjasama, saling memanfaatkan, saling memperkaya, saling memperkasa dan seterusnya".

Dengan mengambil iktibar ini, beliau menyeru rakyat supaya bersama-sama memaknai semula erti kemerdekaan dengan saling mengenal, memperkaya dan memperkasa kehidupan bermasyarakat yang majmuk dan harmoni.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.