Media

Peristiwa
14/6/24
Selangor

Sinar Harian: PKNS Selangor Masters 2024 tawar hadiah bernilai hampir RM1 juta

PETALING JAYA - Dua kejohanan golf antarabangsa akan berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor di sini membabitkan Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor bermula 13 Jun hingga 15 Jun dan disusuli PKNS Selangor Masters dari 19 Jun hingga 22 Jun.

Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor anjuran UUM International School Melaka dan PKNS Golf Management Sdn Bhd itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan menjadi platform mencungkil bakat muda berusia 12 hingga 18 tahun membabitkan kategori individu dan berkumpulan lelaki dan perempuan.

Juara kategori individu lelaki diberi peluang menyertai PKNS Selangor Masters yang merupakan medium penting untuk pemain golf muda menimba pengalaman bersaing dalam kejohanan profesional.

Sementara itu, bagi Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2024 yang akan membuka tirai pada 19 hingga 22 Jun menawarkan hadiah wang tunai lumayan berjumlah AS$175,000 (RM823,725).

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Golf Management Services Sdn Bhd, Mohd Zubir Idrus berkata, kedua-dua kejohanan itu merupakan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan sukan golf di peringkat tempatan dan antarabangsa.

MOHD ZUBIR

MOHD ZUBIR

"Menerusi kejohanan ini, kami menyediakan bakat muda untuk memberi saingan kepada pemain luar negara dari Korea Selatan, China, India, Filipina, Thailand, Indonesia, Australia, Bangladesh, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kami berharap pemain muda negara dapat peluang menimba pengalaman bersaing dengan pemain top junior dari Asia Pasifik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kelab Golf Seri Selangor pada Rabu.

Selain itu ujarnya, kerajaan Selangor bakal menawarkan biasiswa pemain terbaik dari negeri itu untuk menjalani latihan dan meningkatkan kemahiran golf di UUM International School Melaka.

Sementara itu, Mohd Zubir turut memaklumkan, PKNS Selangor Masters dianjurkan oleh PKNS merupakan sebahagian daripada kalendar golf antarabangsa bersama Asian Development Tour (ADT) serta Toyota Tour.

Padang GOLF Kelab Golf Seri Selangor bakal menjadi medan kejohanan golf antarabangsa.

Padang GOLF Kelab Golf Seri Selangor bakal menjadi medan kejohanan golf antarabangsa.

"Kejohanan profesional tahun ketiga ini mendapat sokongan daripada PKNS selaku penaja utama dengan sumbangan hadiah bernilai RM2 juta manakala Gamuda Land sebanyak RM1 juta.

"Selain hadiah wang tunai serta merit ADT, seramai 10 orang pemain terbaik pada akhir musim akan menerima kad Asian Tour untuk tahun depan,” katanya.

Antara pemain negara mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2024 yang akan membuka tirai pada 19 hingga 22 Jun ini ialah Galven Green dan Ervin Chang.

Selain itu, penyandang juara, Ho Yu Cheng dari Taiwan serta wakil negara dan bekas juara 2022, Shahriffudin Ariffin dijangka berentap dalam kejohanan yang menawarkan wang tunai lumayan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.