Media

Peristiwa
8/2/24
Selangor
Negara

Sinar Harian: Jajaran pengangkutan awam jadi fokus pentadbiran Lembah Klang Jaya

SHAH ALAM - Penjajaran semula pengangkutan awam di Selangor menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam agenda pentadbiran Lembah Klang Raya pada tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, tumpuan bakal mempercepatkan peralihan penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang sekali gus mampu mengurangkan kesesakan.

Menurutnya, minggu ini Selangor menyaksikan pengiktirafan bandar raya keempat daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor setelah penaiktarafan Majlis Bandaraya DiRaja Klang.

"Bandaraya Diraja Klang adalah sebuah bandar raya di utara jajaran Lembah Klang Raya yang terdiri daripada Bandaraya Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam dengan separuh daripada populasi Selangor menghuni kawasan ini.

"Cabaran utama yang menjadi perhatian kerajaan negeri adalah mengatasi kesesakan jalan raya melalui penambahbaikkan sistem pengangkutan awam atau mobiliti Selangor dengan hasrat mempercepatkan transisi penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam," katanya pada Rabu.

Sze Han (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap dan Pemukiman Mobiliti Selangor 2024 di Petaling Jaya pada Rabu

Sze Han (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap dan Pemukiman Mobiliti Selangor 2024 di Petaling Jaya pada Rabu

Pada Rabu, Mesyuarat Jawatankuasa Tetap dan Pemukiman Mobiliti Selangor 2024 di Petaling Jaya berakhir dan semua agensi kerajaan Persekutuan dan PBT telah mencapai persefahaman yang lebih baik di dalam perancangan dan pengurusan mobiliti Selangor.

Sze Han berkata, antara agenda utama tahun ini adalah semakan terperinci laluan bas-bas Smart Selangor oleh PBT dan penubuhan 'Selangor Mobility Lab' untuk perkongsian serta penganalisaan data raya dengan penglibatan semua agensi.

Selain itu, katanya, pembinaan Pelan Induk dan Pelan Tindakan Mobiliti Selangor serta memperkasakan penggunaan DRT (Demand-Responsive Transit), laluan pejalan kaki dan memulakan penggunaan bas elektrik di laluan-laluan bandar.

Beliau menambah, membudayakan penggunaan pengangkutan awam tersebut adalah teras utama agenda mobiliti Selangor.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.