Suara

Siaran Akhbar
3/2/22
Isu
Selangor

Sidang Media Khas Pemulihan Pasca Banjir 3 Februari 2022

SIDANG MEDIA KHAS PEMULIHAN PASCA BANJIR
3hb Februari 2022

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terlebih dahulu saya mengucapkan Salam Tahun Baharu 2022 kepada seluruh masyarakat Tionghua khususnya di negeri Selangor. Xin Nian Kuai Le, Gong Xi Fa Cai kepada anda semua.

Terdapat beberapa perkara yang perlu dikemaskini berhubung dengan tindakan-tindakan Kerajaan Negeri pasca bah yang melanda pada akhir bulan Disember tahun lalu.

Pertamanya seramai 55,425 keluarga telah menerima Bantuan Selangor Bangkit RM1,000 merangkumi 9 daerah. 13 keluarga pula yang kehilangan ahli keluarga tersayang diberikan RM10,000 setiap keluarga. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah disalurkan kepada mangsa yang terkesan banjir adalah sebanyak RM55.555 juta (RM55,555,000.00).

Saya juga dimaklumkan terdapat sejumlah pemohon di daerah Klang dan Petaling yang belum menerima Bantuan Selangor Bangkit. Malah ada juga yang hadir pagi tadi di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka kerana masih menunggu untuk bantuan tersebut.

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada mereka yang sudah memohon, layak menerima tetapi belum disampaikan Bantuan Selangor Bangkit. Kerajaan Negeri mendapati terdapat kes-kes tambahan permohonan tinggi di Daerah Klang dan Petaling serta permohonan lebih daripada sekali oleh ahli-ahli keluarga selain Ketua Isi Rumah. Secara keseluruhan kita telah menerima 109,000 permohonan yang memerlukan RM109 juta bagi Bantuan Selangor Bangkit.

Untuk mengelakkan pertindihan ini serta memastikan kesaksamaan dan keadilan bantuan ini kepada mangsa yang terkesan, Pejabat-pejabat Daerah dalam peringkat akhir menyelesaikan pemutihan data.

Pemberian BSB bagi daerah Petaling akan selesai InsyaAllah akhir minggu hadapan.

Bagi daerah Klang pula, terdapat peningkatan permohonan sebanyak 30,000. Sehingga kini, seramai 1,000 pemohon disalurkan BSB RM1,000 setiap hari. Saya telah meminta supaya pegawai-pegawai daerah lain bantu mempercepatkan proses di Klang untuk menggandakan pemberian bantuan kepada sehingga 2,000 dan 3,000 penerima setiap hari.

Pada hari esok, seramai 3,800 keluarga lagi akan diberi BSB RM1,000.

Pemberian BSB akan diusahakan secepat mungkin dan disalurkan selewat-lewatnya akhir bulan Februari 2022.

Seterusnya, kerja-kerja pembersihan pasca-banjir sudah siap sepenuhnya kecuali Taman Sri Muda akibat banjir yang berlaku baru-baru ini. Pihak KDEB Waste sedang menyegerakan proses ini yang akan dibantu oleh gotong-royong komuniti secara besar-besaran pada 6 Februari 2022.

Bagi kawasan-kawasan lain seperti Taman Sentosa, Klang Utama dan beberapa lagi tempat, penduduk-penduduk masih dalam proses membersihkan rumah mereka dan mula membeli barang-barang gantian seperti perabot, barangan elektronik dan barangan dapur.

Ini masih menghasilkan barang buangan yang membawa kepada longgokan sampah di kawasan perumahan. KDEB Waste akan memberikan tumpuan khusus kepada kawasan seperti ini dan proses ini dijangka berterusan dan selesai pada akhir bulan Mac 2022.

Untuk pemulihan infrastruktur pula, 14 kerja pemulihan infrastruktur telah bermula secara berperingkat di 7 daerah. Kesemua kerja ini yang melibatkan pembinaan ataupun pemulihan jalan, jambatan dan pembersihan melibatkan peruntukan RM31.7 juta.

Yang terakhir, Bantuan Pakaian Sekolah Selangor 2022 akan bermula dalam masa terdekat untuk membantu 40,000 pelajar Selangor di sekolah rendah, menengah dan sekolah JAIS. Setiap pelajar akan diberikan bantuan pakaian lengkap baju, seluar/kain, stokin & kasut bernilai RM100.

[BACA KENYATAAN MEDIA]

__

YAB Dato' Seri Amirudin Shari

Dato' Menteri Besar Selangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.