Media

Ekonomi
3/4/24
Selangor
KDNK

Selangor Kini: Taman industri pintar cecah GDV RM10 bilion, lebih 60 peratus ditempah pelabur

KUALA LANGAT, 2 APRIL: Pembangunan Taman Industri Pintar NCT (NSIP) yang menjadi taman perindustrian terurus pertama negara melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM10 bilion.

Dato’ Menteri Besar berkata berkonsep kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT), taman itu akan mengoptimumkan kecekapan tenaga selain dipenuhi aktiviti industri hijau.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pelaksanaan sistem berkenaan bakal memangkin Misi Net Zero 2050 selain selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menekankan matlamat pembangunan mampan (SDG).

“Komitmen ini penting untuk mendepani cabaran kesenjangan digital. Kita ingin membina masyarakat dan komuniti celik digital dan berpengetahuan.

“Projek ini turut menekankan inisiatif mesra alam. Ini menjadikan NSIP sebagai mercu tanda kemodenan dengan fasiliti diurus AI, pengawasan pintar dan komitmen kukuh terhadap prinsip alam sekitar melalui pembinaan kilang yang menggunakan tenaga solar,” katanya.

Berucap pada majlis pembukaan galeri jualan NSIP, Amirudin berkata setakat ini projek berperingkat melibatkan tiga fasa atas tanah seluas 732 ekar itu menerima tempahan lebih 60 peratus pelabur tempatan dan luar negara sejak diperkenal April tahun lalu.

“Daripada pelabur fasa pertama, NSIP menerima tempahan daripada 95 peratus pelabur tempatan manakala bakinya adalah pelabur asing yang terbabit dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman farmaseutikal serta semikonduktor,” katanya.

Projek pertama Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) itu bakal dilengkapi 101 unit kilang berkembar dan 27 plot perindustrian selain bertindak sebagai pusat sehenti kepada pihak berkepentingan seperti Invest Selangor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Sementara itu, pengarah urusan Kumpulan NCT berkata taman berkenaan menyediakan 30,000 tempat tinggal jenis penginapan pekerja berpusat (CLQ) selain dilengkapi sistem pengumpulan hujan dan kawalan banjir 100 tahun.

“Taman ini mencerminkan konsep taman AI rendah karbon berlandaskan teknologi canggih sambil menerapkan kelestarian alam sekitar,” kata Dato’ Sri Yap Ngan Choy.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.