Media

Peristiwa
29/3/23
Isu
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: SABDA cipta peluang kerja, lenyap gelaran Sabak Bernam ‘daerah warga emas’



SHAH ALAM, 28 MAC: Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang sedang dilaksanakan bakal menjana peluang pekerjaan sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah tersebut.

Wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman menjelaskan inisiatif yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) itu juga bakal melenyapkan gelaran Sabak Bernam sebagai daerah warga emas.

“Sekarang ini ramai yang kata Sabak Bernam tempat tinggal warga emas. Kita memang sedang hadapi masalah itu kerana di sini tiada peluang pekerjaan.

“Ramai belia yang terpaksa keluar daerah untuk mencari rezeki. Sekolah-sekolah juga sudah tidak mempunyai ramai murid,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut Ahmad Mustain, pihaknya bersedia membantu Kerajaan Negeri merealisasikan SABDA bagi memastikan projek dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion itu memberi pulangan terbaik.

Jelasnya, projek tersebut juga dijangka merubah Sabak Bernam sebagai daerah agropertanian terkemuka sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri.

SABDA yang diumumkan Julai tahun lalu membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi atas kawasan berkeluasan 1,317 hektar, dijangka memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.

Antara projek utama dalam SABDA adalah pembangunan kompleks pendaratan ikan Sekinchan, pembinaan Rehat dan Rawat (R&R) serta pusat perniagaan air manis.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.