Media

Pendapat
18/4/24
Isu
Selangor

Selangor Kini: Program Talaqqi Kitab Turath Islami kembali, kupas kitab karya Imam al-Ghazali

SHAH ALAM, 17 APRIL: Program Siri Talaqqi Kitab Turath Islami yang dianjur Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sempena penterjemahan kitab Ihya Ulumuddin, diteruskan 24 dan 26 April ini.

Pengarah Eksekutif IBDE berkata tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni akan mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan sepanjang program berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Menurut Farhan Affandi acara selama dua hari itu merupakan lanjutan program Festival Turath Islami Selangor yang mendapat sambutan menggalakkan tahun lalu.

“IBDE dan Akademi Pemikiran Turath (APT) bersama Pejabat Menteri Besar Selangor dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menganjur program susulan iaitu siri pengajian turath yang dikenali sebagai Talaqqi Kitab Turath Islami.

“Sebagai pembukaan program, kami membawakan kembali Murabbi terkemuka tanah Pattani, Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni bagi mengupas karya agung Hujjatul Islam Imam al-Ghazali,” katanya kepada Selangorkini semalam.

Farhan menambah program pada 24 April ini diadakan dua sesi iaitu kuliah Dhuha (9.30 pagi – 12 tengah hari) dan kuliah Isyak jam 9 hingga 11 malam.

Jelasnya kuliah Dhuha juga akan diadakan pada hari terakhir iaitu 26 April bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dengan jangkaan 200 hingga 300 jemaah setiap sesi.

“Apa yang menarik, program kali ini kita berjaya menyiapkan dua jilid terjemahan Ihya Ulumuddin yang sudah berada di pasaran sejak November lalu,” katanya.

Festival Turath Islami Selangor mula dianjur tahun lalu dalam usaha Kerajaan Negeri memartabat syiar Islam dengan menganjurkan majlis ilmu yang mendalam melalui syarahan tokoh ulama antarabangsa.

Festival cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari itu berjaya menarik lebih 10,000 peserta termasuk pelajar keagamaan dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

Tahun ini, program tersebut akan diadakan lapan hari pada akhir Mei depan dengan pelbagai pengisian selain pelancaran lima jilid karya terjemahan Ihya Ulumuddin.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.