Media

Peristiwa
24/4/24
Selangor

Selangor Kini: PPAS: 930,000 buku dipinjam pada 2023, tertinggi dalam tempoh 52 tahun


SHAH ALAM, 23 APRIL: Pinjaman buku di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) meningkat kepada 930,000 naskhah pada 2023 berbanding 738,818 pada tahun sebelumnya.

EXCO Belia Najwan Halimi berkata peningkatan berkenaan susulan penambahan jumlah pinjaman daripada 10 kepada 20 naskhah bagi seorang peminjam yang diperkenal sejak 1 Mac 2023.

Menurut beliau, rekod pinjaman buku berkenaan juga merupakan jumlah tertinggi sepanjang 52 tahun menubuhan PPAS.

“Rekod purata membaca rakyat Malaysia pada tahun lalu hanya mencatatkan jumlah bacaan 15 hingga 20 buku setahun atau kurang dari tiga jam seminggu.

“Namun saya percaya trend ini akan berubah ke arah menjayakan penganjuran Dekad Membaca Kebangsaan 2030,” katanya ketika berucap di program Jom Baca Bersama 10 minit, hari ini.

Program bertemakan ‘Baca dan Bahagia’ serta ‘Pembacaan Melestarikan Perpaduan’ bagi peringkat Selangor berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini.

Dianjur serentak di seluruh negara, program memasuki tahun ke-10 penganjurannya disertai kira-kira 300 peserta daripada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Najwan menambah, inisiatif gerakan membaca serentak beramai-ramai di Selangor diperkenalkan PPAS pada 26 Jun 2010 yang dilancarkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Program ini kemudiannya diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai ‘The Largest Outdoor Reading Event in Malaysia’,” katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.