Inisiatif

Peristiwa
25/4/22
Selangor
Bantuan
Perayaan

Selangor Kini: MBI sumbang RM300,000 jayakan jualan mega barangan asas

SHAH ALAM, 24 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalur dana berjumlah RM300,000 bagi menjayakan program Jualan Prihatin Rakyat Mega.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) digunakan untuk menaja tiga tapak jualan barangan asas.

Menurutnya, lokasi tapak jualan pada 30 April meliputi Padang Awam Batu Caves, Gombak; Stadium Shah Alam dan Stadium Sabak Bernam.

“Kita turut serta dalam program jualan kali ini melibatkan beberapa barangan terutama keperluan raya seperti ayam, daging, telur ayam, minyak masak dan ikan.

“Diharap dengan jualan ini dapat membantu meringankan beban suri rumah dan keluarga berpendapatan rendah (B40) kerana harga makanan mahal sekarang,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media program Jualan Prihatin Rakyat Mega di Pasar Tani Seksyen 13 di sini yang turut dihadiri EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim.

Pada masa sama, Norita berkata pihaknya bercadang untuk menaja tapak jualan di seluruh negeri sekiranya diperlukan pada masa akan datang.

“Tajaan tiga tapak jualan hanya sebagai permulaan dan kita sedia bantu di seluruh negeri,” katanya.

Jualan murah barangan asas secara besar-besaran akan bermula esok sehingga 2 Mei di 29 lokasi seluruh Selangor.

Program itu menawarkan 23,200 ayam segar, 23,200 kilogram(kg) daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish).

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.