Media

Peristiwa
17/4/24
Selangor

Selangor Kini: Inisiatif PKPS buka permohonan JER kepada umum dipuji, manfaat serata negeri

PETALING, 16 APRIL: Inisiatif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuka permohonan penganjuran jualan murah barangan asas secara dalam talian telah memanfaatkan lebih ramai penduduk.

Penduduk Rumah Pangsa Bandar Bukit Puchong Nor Fazliana M Amir, 31, berkata beliau membuat permohonan mengadakan Jualan Ehsan Rahmah di kawasan perumahan itu selepas terbaca hebahan PKPS di Facebook dan memanfaatkan lebih 300 penduduk hari ini.

Nor Fazliana M Amir. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Inisiatif PKPS membuka permohonan mengadakan JER kepada umum memberi peluang lebih ramai warga Selangor membeli barangan keperluan pada harga murah.

“Pada Februari lalu, saya isi borang melalui pautan di Facebook PKPS. Selepas itu saya dihubungi pihak PKPS dan diminta pilih tarikh. Prosesnya sangat mudah dan diharap terus dibuka kepada umum berbanding sebelum ini pihak DUN saja boleh mohon.

“Sebelum ini kami pergi program JER di kawasan lain tetapi hari ini lori JER datang ke sini. Alhamdulillah kira-kira 300 penduduk Rumah Pangsa Bandar Bukit Puchong dpat beli barangan keperluan pada harga murah,” katanya ditemui pada program JER peringkat DUN Seri Serdang hari ini.

Sebelum ini, PKPS memaklumkan semua pihak boleh memohon penganjuran jualan murah secara dalam talian menerusi pautan https://forms.gle/3xE6acRZRv17X2zT6.

Pemandu lori, Azahari Ishak, 52 berkata JER menjadi penyelamat untuknya menampung keperluan makanan untuk keluarga berikutan pendapatan tidak menentu sejak tiga bulan kebelakangan ini.

“Beli di sini RM74 ringgit sudah boleh dapat ayam, telur, beras, minyak dan daging, kalau di luar mencecah lebih RM150. Memang sangat membantu program ini dan saya harap ia diteruskan,” katanya.

Kakitangan swasta, Zaida Ishak, 42, berkata beliau sanggup pergi ke JER di kawasan berdekatan sebelum ini untuk membeli barangan keperluan pada harga murah berikutan menyara tiga lagi adiknya.

“Setiap minggu keperluan kami sekurang-kurangnya RM150 untuk makan, jadi bila beli di JER boleh jimat dan lebihan itu disalurkan kepada keperluan lain seperti bayar bil air dan elektrik,” katanya.

Untuk JER DUN Seri Serdang, PKPS menyediakan 500 ekor ayam, daging pejal (200 pek), telur (300 papan), ikan (200 pek), minyak masak lima kh (72 botol) dan beras lima kg (300 pek).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.