Media

Peristiwa
29/3/23
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Hijrah tawar pinjaman modal hingga RM20,000, galak usahawan sertai Bazar Raya

SHAH ALAM, 28 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) memperuntuk dana sejumlah RM500,000 bagi membantu usahawan negeri ini yang berminat menyertai Bazar Raya.

Eksekutif Promosinya Muhammad Ihsan Mohamad Rosdi Kamal berkata program di bawah skim i-Bermusim menawarkan pinjaman antara RM2,000 hingga RM20,000.

“Usahawan berminat boleh memohon skim ini yang dibuka sejak 13 Mac lalu hingga 7 April. Kita sudah mula menerima permohonan dan menyasarkan 100 usahawan mendapat manfaat.

“Pembiayaan akan dikeluarkan kepada pemohon layak pada minggu ketiga Ramadan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata konsep pinjaman skim i-Bermusim kali ini berbeza berbanding tahun sebelumnya yang memberi peluang kepada mana-mana usahawan memohon pinjaman tersebut.

“Ini kerana kita benar-benar mahu membantu usahawan sedia ada yang memberi komitmen daripada segi bayaran balik pinjaman kepada Hijrah.

“Namun, kita menyeru usahawan di luar sana yang ingin mendapatkan modal tambahan supaya menyertai skim pinjaman bersesuaian lain seperti i-Bisnes dan sebagainya,” katanya.

i-Bermusim antara tiga skim pembiayaan diperkenal Kerajaan Selangor bagi membantu usahawan memulih semula perniagaan terjejas susulan pandemik Covid-19.

Skim berkonsepkan islamik khusus buat usahawan yang memerlukan modal pusingan untuk perniagaan bermusim seperti bazar ramadan, bazar perayaan dan gerai buah-buahan bermusim.

Skim berkenaan boleh dimohon menerusi http://mikrokredit.selangor.gov.my atau hubungi pegawai pembiayaan di 19 cawangan Hijrah.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.