Suara

Siaran Akhbar
1/9/20
Selangor
Perayaan

Selangor Kini : Fahami nilai Rukun Negara, terap dalam kehidupan - MB

SHAH ALAM, 30 OGOS: Nilai dan ajaran Rukun Negara tidak hanya boleh dijadikan kata-kata, sebaliknya perlu dipraktik dan diperhalusi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari kesal masih ada kelompok yang tidak memahaminya dan mengamalkan sikap yang boleh menimbulkan kemarahan serta keresahan.

“Bapa Kemerdekaan juga menyeru, ‘Kita semua rakyat Malaysia. Ini adalah satu ikatan yang sentiasa menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah asas kekuatan kita sebagai rakyat dan sebagai satu negara.’

“Pada ulang tahun ke-63 kemerdekaan, kita tidak boleh melupakan negara ini dibina dengan usaha dan jerih perih leluhur kita yang menumpahkan darah dan air mata untuk melihat sebuah negara dan bangsa yang maju jaya, dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia.

“Sedari awal lagi negara ini didirikan dengan nilai timbang rasa yang tinggi, saling hormat-menghormati dan ketinggian budi seperti yang digariskan dengan jelas dalam Rukun Negara,” katanya dalam perutusan khas sempena merdeka.

Amirudin berkata perjuangan menentang Covid-19 juga masih panjang dan rakyat diingatkan sentiasa mematuhi norma baharu demi kesejahteraan semua.

Beliau turut memberi tabik hormat kepada petugas barisan hadapan yang berjuang dan berkhidmat tanpa henti untuk memelihara dan melindungi rakyat daripada pandemik global itu.

“Perjuangan dan pengorbanan anda adalah lambang bakti setia kepada negara yang tercinta ini. Selamat Hari Kebangsaan kepada semua,” katanya lagi.

Seterusnya
SELANGOR MAJU BERSAMA
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.