Media

Peristiwa
26/3/24
Selangor

Selangor Kini: Dunia sambut baik resolusi UNSC tuntut gencatan senjata di Gaza

SEBILANGAN besar negara di dunia menyambut baik resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut gencatan senjata segera antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas di Gaza.

Ketika Amerika Syarikat (AS) memilih untuk berkecuali daripada mengundi pada hari Isnin, baki 14 ahli majlis berkenaan sepakat mengundi resolusi itu.

Namun begitu, dalam kalangan negara yang gembira dan bersetuju dengan resolusi itu, terdapat juga yang tidak sependapat termasuk Israel yang secara terang-terangan mengkritik keputusan yang dicapai UNSC.

Berikut reaksi daripada pemimpin-pemimpin dan kerajaan antarabangsa:

• Pemimpin Hamas, Basem Naim

Kumpulan pejuang Palestin Hamas berikrat untuk komited dengan syarat resolusi itu dan menegaskan, Israel mesti bertanggungjawab dalam mematuhinya.

“Adalah menjadi peranan masyarakat antarabangsa untuk mewajibkan Israel dan menamatkan dwi standard ini,” kata pemimpin kanan biro politik Hamas, Basem Naim, kepada Al Jazeera.

"Persoalannya ialah sejauh manakah masyarakat antarabangsa mewajibkan Israel melaksanakan resolusi ini?" soal beliau.

Kumpulan itu juga menekankan keperluan mencapai gencatan senjata kekal yang membawa kepada pengunduran semua tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan menyatakan kesediaan Hamas untuk terlibat dalam proses pertukaran segera yang membawa kepada pembebasan tawanan di kedua-dua belah pihak.

• Ahli Jawatankuasa Pusat Fatah, Sabri Saidam

Menurut Sabri, resolusi itu "adalah satu langkah ke arah yang betul menuju ke arah penamatan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Palestin."

“Konsensus yang kita saksikan hari ini seharusnya membuka jalan kepada pengiktirafan penuh hak rakyat Palestin yang tertangguh dan kemerdekaan Negara Palestin,” kata Saidam kepada Al Jazeera.

• Kementerian Luar Palestin

Kementerian Luar Palestin menyifatkan, keputusan yang dicapai Majlis Keselamatan PBB merupakan langkah paling tepat dalam usaha menamatkan perang yang telah berlanjutan selama lima bulan itu.

Bahkan, kementerian berkenaan berkata, resolusi itu juga akan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan selain kembali memberikan perlindungan kepada pelarian Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Dalam masa sama, Kementerian Luar Palestin menyeru negara-negara anggota UNSC untuk menunaikan tanggungjawab undang-undang mereka untuk melaksanakan resolusi itu dengan segera.

Kementerian itu menekankan kepentingan mencapai gencatan senjata kekal yang melangkaui Ramadan - bersama-sama dengan memastikan kemasukan bantuan, berusaha membebaskan banduan dan mencegah pemindahan paksa.

• Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan

Erdan berpendapat resolusi itu gagal untuk menuntut gencatan senjata tanpa "mensyaratkan" pembebasan tawanan di Gaza "melemahkan usaha untuk mendapatkan pembebasan mereka."

“Ia memudaratkan usaha ini kerana ia memberi harapan kepada Hamas untuk mendapatkan gencatan senjata tanpa membebaskan tebusan. Semua ahli majlis … sepatutnya mengundi menentang resolusi yang tidak tahu malu ini,” katanya.

• Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu

Tidak lama selepas resolusi itu diluluskan, Netanyahu membatalkan lawatan delegasi Israel ke Washington seperti yang diminta AS untuk membincangkan kebimbangan mengenai cadangan pencerobohan Israel ke atas Rafah, sebuah bandar di selatan Gaza yang sesak.

Penolakan AS adalah "pengunduran yang jelas daripada kedudukan AS yang konsisten" dan akan menjejaskan usaha perang Israel dan cuba membebaskan tebusan yang masih dalam tawanan Hamas, kata pejabat Perdana Menteri.

• Pendirian White House, Amerika Syarikat

White House dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, penolakan Washington daripada undian “tidak mewakili perubahan dalam dasar kami … tetapi kerana teks terakhir tidak mempunyai bahasa yang kami fikir penting, seperti kutukan terhadap Hamas, kami tidak dapat menyokongnya. ”

Jurucakap White House, John Kirby berkata, pegawai AS "sangat kecewa dengan keputusan Netanyahu untuk tidak menghantar penasihatnya untuk perbincangan di White House mengenai operasi Rafah."

• Duta China ke PBB, Zhang Jun

“Selepas veto berulang kali terhadap tindakan majlis, Amerika Syarikat akhirnya memutuskan untuk berhenti menghalang tuntutan majlis untuk gencatan senjata segera. Walaupun semua ini, AS masih cuba mencari pelbagai alasan dan membuat tuduhan terhadap China,” kata Duta Besar China ke PBB, Zhang Jun.

“Bagi nyawa yang telah terkorban, resolusi majlis hari ini (Isnin) terlambat, tetapi bagi berjuta-juta orang di Gaza yang masih terperangkap dalam malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, resolusi ini, jika dilaksanakan sepenuhnya dan berkesan, masih boleh membawa harapan yang telah lama ditunggu-tunggu ," tambah beliau.

• Turki

Turki pula berpendapat, resolusi dan prospek kembali akses kemanusiaan ke Gaza sebagai "langkah positif."

“Kami berharap Israel akan mematuhi keperluan resolusi ini tanpa berlengah lagi,” kata jurucakap Hal Ehwal Luar Turki, Oncu Keceli dalam hantaran di X.

• Belanda

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte mengalu-alukan resolusi itu sambil memberitahu: "Apa yang diperlukan kini ialah menghentikan keganasan, membebaskan tebusan, segera menghantar lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencari penyelesaian yang berkekalan."

• Duta UK ke PBB, Barbara Woodward

Woodward berkata, London "kesal" resolusi itu tidak mengutuk serangan Hamas 7 Oktober dan menegaskan bahawa United Kingdom "mengutuk" serangan itu "secara terang-terangan."

Menurut Woodward, resolusi itu menghantar mesej "jelas" berhubung keperluan untuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk ditegakkan.

“Kami menyeru agar resolusi ini dilaksanakan segera. Presiden, kita perlu memberi tumpuan kepada bagaimana kita merangka jalan daripada jeda kemanusiaan segera kepada keamanan yang berkekalan dan mampan tanpa kembali kepada pertempuran.

“Ini bermakna pembentukan kerajaan baharu Palestin untuk Tebing Barat dan Gaza disertai pakej sokongan antarabangsa,” katanya. - Al Jazeera

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.