Media

Peristiwa
16/4/24
Selangor

Selangor Kini: 247 guru Jais terima hadiah Syawal, dinaikkan pangkat April ini

SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 247 guru bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerima ‘hadiah’ Syawal menerusi kenaikan pangkat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (SPN).

Agensi agama negeri memaklumkan majlis kenaikan pangkat ke Gred DG42 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Jais itu diadakan 3 April lalu di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

“Majlis yang penuh bersejarah ini menyaksikan 247 guru Jais yang merupakan kumpulan pertama mendapat kelulusan kenaikan pangkat ke Gred DG42 daripada SPN.

“Kenaikan pangkat kumpulan ini melibatkan guru yang berada pada Gred DG29 (11 orang), Gred DG32 (82 orang), Gred DG34 (90 orang) dan Gred DG38 (64 orang),” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam majlis itu, Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengingatkan guru agar dapat merubah cara berfikir dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab selari dengan kenaikan pangkat baharu.

Menurutnya guru perlu berkhidmat sebagai seorang mukmin yang mengharapkan pahala dari Allah SWT, bukan hanya tertumpu kepada konsep ‘upah hala’ sekali gus boleh menjejaskan keikhlasan.

Mohd Shahzihan turut menyempurnakan penyerahan Kitab Tafsir al Quran Pimpinan Ar Rahman sumbangan Tabung Infaq dan Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) bernilai RM68,769 untuk diagihkan kepada semua sekolah agama negeri.

Pada 13 April tahun lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan akan melaksana pelarasan semula gaji membabitkan guru di sekolah rendah agama dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan guru agama tidak lagi terbeban dengan kenaikan gaji dan pangkat yang agak lama berbanding guru di Kementerian Pendidikan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.