Inisiatif

COVID-19
28/4/20
Selangor
STFC19
Isu

Rumusan Saringan Komuniti COVID-19 SELANGOR

Kenyataan Media
28 April 2020

Rumusan Saringan Komuniti Covid-19 Selangor

Kerajaan Negeri Selangor telah memulakan beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar (targeted community testing) di kawasan-kawasan zon merah bagi membantu usaha melandaikan keluk sekaligus memutuskan penularan rantaian wabak Covid-19. Inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 ini telah berlangsung sebanyak tujuh (7) pusingan melibatkan enam (6) kawasan bermula dengan Hulu Langat pada 11 dan 12 April 2020 dan berakhir dengan Bandar Baru Selayang pada 22 dan 23 April 2020.

Pemeriksaan secara pandu-lalu dan dari rumah ke rumah (termasuk rumah penjagaan orang tua) ini menggunakan kaedah RT-PCR yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dilaksanakan secara bersepadu antara anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), SELCARE Clinic bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan dan Polis Diraja Malaysia.

Sebanyak 5,433 sampel telah diuji dan 10 daripadanya disahkan positif. Terdapat lapan (8) daripada 10 kes tersebut merupakan pesakit tidak bergejala (asymptomatic).

Bagi mereka yang telah menjalani saringan komuniti ini boleh memuat turun laporan pemeriksaan tersebut di http://www.selangorprihatin.com mulai 1 Mei 2020.

Kerajaan Negeri akan meneruskan saringan komuniti di Selangor bagi membantu usaha-usaha KKM mengenal pasti individu yang dijangkiti virus ini terutama dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi. Inisiatif saringan komuniti ini akan terus dilaksanakan dalam masa terdekat secara strategik dengan mengambil kira dapatan Selangor Task Force Covid-19 bagi meningkatkan kesiapsiagaan rakyat menghadapi norma baharu pasca-PKP dalam usaha memulihkan semula ekonomi negeri.

Baca kenyataan media di sini

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.