Inisiatif

Peristiwa
12/1/24
Selangor
Negara

MKN: JABATAN PERANGKAAN SELANGOR BUKA KAUNTER BERGERAK, BANTU DAFTAR SISTEM PADU

SHAH ALAM, 9 JAN: Jabatan Perangkaan Selangor membuka kaunter bergerak di beberapa lokasi terpilih sehingga 31 Mac bagi memudahkan orang ramai mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Pengarahnya berkata sejak semalam hingga 14 Januari, kaunter dibuka di 21 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di sembilan daerah, Bangunan Darul Ehsan dan Lotus Rawang serta diteruskan sehingga 31 Mac 2024 di beberapa lokasi seluruh negeri.

Menurut Hartini Yaacob, walaupun platform pangkalan data itu boleh diakses di mana-mana tetapi pihaknya sedar ada golongan yang masih memerlukan bantuan pendaftaran dan pengemaskinian maklumat.

“Bagi kawasan bandar mungkin kita boleh beri pendedahan kepada mereka dan boleh daftar sendiri melalui telefon bimbit masing-masing tetapi bagi penduduk luar bandar terutama warga emas mereka masih perlu dibantu.

“Jadi kami buka kaunter bergerak ini dengan penggiliran di pelbagai lokasi bagi membantu mereka yang memerlukan selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan sistem ini.

Mengulas lanjut, Hartini berkata penduduk Selangor yang tidak mempunyai peranti dan akses internet boleh menggunakan kemudahan di 48 PEDi seluruh negeri.

“Kami juga bekerjasama dengan pelbagai pihak yang sering mempunyai hubungan secara langsung dengan masyarakat termasuk pusat khidmat masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN), ketua kampung, Tok Batin di perkampungan Orang Asli dan banyak lagi untuk memudahkan bertemu masyarakat.

Sistem PADU yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 merupakan pangkalan data mengandungi profil penduduk yang membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar secara bersasar.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber terutama pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan yang lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak.

Ia juga sebagai sumber rujukan berpusat dalam membantu Kerajaan membuat keputusan berpandukan data dan memastikan mereka yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan atau perlindungan sosial


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.