Media

COVID-19
14/1/22
Isu
Selangor

Kosmo: Selangor berhati-hati sebelum rapatkan saf jemaah masjid

SHAH ALAM – Selangor mengambil langkah berhati-hati sebelum mengikut jejak Johor dan Perlis bagi merapatkan saf jemaah di masjid dan surau.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, ini berikutan kadar jangkitan yang masih tinggi walaupun kurang daripada 1,000 ketika ini.

Katanya, aspek lain ditekankan adalah kadar kebolehjangkitan Covid-19 (R-Naught).

“Pihak berkuasa agama Islam negeri ini tidak boleh sewenang-wenangnya mengikut jejak langkah seperti dilakukan di Johor dan Perlis yang menghapuskan jarak satu meter dalam saf.

“Selangor pun kurang daripada 1,000 kes, tetapi masih lagi tertinggi. Sekarang data dalam laporan media pun sudah lain dan ditekankan kepada R-Naught, 0.98, 0.95, jadi kita membuat keputusan tentang jarak saf ini sangat berhati-hati,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil kepada 59 Peguam Syarie Selangor di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain.

Abdul Aziz memberitahu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sangat prihatin terhadap masalah dihadapi rakyat berkaitan dengan pandemik ini ekoran Selangor sehingga kini masih menduduki tangga tertinggi dari segi jangkitan.

Ujarnya, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memberikan pandangan dan nasihat kepada Sultan Sharafuddin termasuk kesesuaian untuk mengubah peraturan sekiranya kes Covid-19 terus menurun.

“Justeru, baginda berhati-hati agar perkara berkaitan masjid dan surau tidak menjadi faktor utama merebaknya Covid-19.

“Ketika ini, kapasiti jemaah masjid di Selangor sudah ditingkatkan cuma jarak masih lagi dikekalkan satu meter,” jelasnya. -K!ONLINE

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.