Inisiatif

Siaran Akhbar
30/9/21
Isu

Kenyataan Media: Isu Kemensah Heights

KENYATAAN MEDIA
ISU KEMENSAH HEIGHTS
30 September 2021

Semalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah mendengar beberapa taklimat daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta jabatan berkaitan berhubung isu tragedi tanah runtuh di Kemensah Heights. Justeru, beberapa ketetapan penting telah diputuskan:

1. Pergerakan tanah di seluruh kawasan terbabit termasuk 19 buah townhouse yang melibatkan 28 keluarga masih lagi aktif dan diklasifikasikan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor sebagai Zon Bahaya. Justeru, dianggarkan satu (1) hingga tiga (3) bulan diperlukan bagi menguruskan kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan cerun.

2. Proses pengukuhan tebing dan cerun melalui pembinaan tembok penahan kekal dianggarkan memakan belanja sebanyak RM 6 juta. Pegawai Daerah Gombak selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Gombak akan memudahcara bersama pemilik-pemilik lot unit kediaman banglo terlibat untuk memuktamadkan pengendalian kos pengukuhan ini.

3. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan melakukan kerja-kerja penstabilan dan pengukuhan tebing Sungai Kemensah dengan memasang sheet pile sepanjang 200 meter melibatkan anggaran kos RM 1 juta.

4. Kawasan cerun yang runtuh telah ditutup dengan canvas sheet bagi menghalang air terus ke permukaan cerun. Kerja-kerja pemantauan pergerakan tanah akan terus dilaksanakan sehingga tiada lagi pergerakan tanah dikesan.


Untuk makluman, tindakan segera melalui pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih aliran Sungai Kemensah dan lain-lain kerja berkaitan telah selesai dilaksanakan pada 19 September 2021 dengan kos RM20,000.

Di kesempatan ini, Kerajaan Negeri turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) atas kelulusan RM10 juta untuk pelan kerja berkaitan penstabilan cerun dan menaiktaraf Sungai Kemensah bagi mengelakkan kejadian ini daripada berulang.

Semoga dengan usaha bersama Kerajaan Persekutuan-Kerajaan Negeri akan menyempurnakan penyelesaian kepada masalah tanah runtuh ini.


DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor

PDF

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.