Inisiatif

COVID-19
17/5/21
Isu
Selangor
STFC19

INISIATIF TERBAHARU UNTUK CAC DI SELANGOR

INISIATIF TERBAHARU UNTUK CAC DI SELANGOR

Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor dan telah mencapai beberapa ketetapan bagi meningkatkan usaha menangani perebakan COVID-19 di Selangor.

Bagi membantu melancarkan operasi di Covid Assessment Centre (CAC), Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan 150 orang sukarelawan yang terdiri dari penjawat awam, penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), petugas perubatan SELCARE serta pelajar perubatan Universiti Swasta yang akan membantu kelancaran operasi di CAC terutamanya CAC Daerah Petaling di Stadium Malawati. Pertambahan sukarelawan ini akan membantu pengurusan trafik, pengurusan pesakit COVID-19 serta penilaian pesakit.

Kerajaan Negeri turut bersetuju mewujudkan ‘calling centre’ yang akan dilaksanakan oleh para sukarelawan perubatan bertujuan membantu mengurangkan beban di CAC bagi penilaian pesakit di rumah ataupun ‘home assessment’.

Statistik mendapati bahawa 48% pengunjung yang hadir ke CAC Stadium Malawati adalah bagi urusan pemotongan gelang kuarantin ataupun penamatan ‘home quarantine’. Oleh itu mulai minggu hadapan, Kerajaan Negeri akan mewujudkan kaunter khas bagi tujuan pemotongan gelang ataupun penamatan kuarantin di rumah. Ini bagi mengurangkan kesesakan di CAC Stadium Malawati serta pada masa yang sama mengurangkan risiko jangkitan kepada mereka yang telah tamat kuarantin.

Selain itu, inisiatif ketiga yang dicadangkan adalah pemakluman mengenai klinik dan fasiliti perubatan swasta (CAC Swasta) yang mempunyai pengamal perubatan yang diberi kebenaran untuk melaksanakan ‘Home Surveillance Order’ (HSO). Ini membolehkan mereka memberi kebenaran pemakaian gelang kuarantin kepada mereka yang didapati positif serta kontak rapat. Dengan pelaksanaan ini maka pesakit COVID-19 tidak perlu hadir ke CAC Daerah tetapi boleh ke CAC Swasta dan ini dapat mengurangkan beban di CAC Daerah terutamanya CAC Stadium Malawati.

Di Selangor terdapat 65 Pengamal Perubatan (General Practitioner) yang diberi kebenaran untuk melaksanakan HSO. Senarai CAC Swasta tersebut akan dimaklumkan kemudian.

Saya juga telah dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengenai penambahan kelengkapan ICU dan jumlah katil bagi pesakit COVID-19 di Selangor. Sejumlah 300 katil dan wad ICU akan ditambah, manakala 1,300 katil akan ditambah di MAEPS Serdang.

Kemudahan seperti 20 unit khemah lengkap dengan kipas, kerusi dan sistem P.A turut ditambahbaik di CAC Petaling yakni Stadium Malawati semenjak semalam lagi untuk keselesaan orang ramai.

Ketetapan baharu turut dibuat agar MAEPS Serdang hanya akan merawat pesakit dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja berikutan keputusan mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di beberapa negeri lain di wilayah tengah seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.

Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan semasa mengenai situasi COVID-19 di Selangor dan akan terus melaksanakan langkah-langkah proaktif di bawah kapasiti yang ada bagi menangani perebakan wabak ini.

[BACA KENYATAAN MEDIA]

__

YAB Dato' Seri Amirudin Shari

Dato' Menteri Besar Selangor

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.