Inisiatif

Peristiwa
1/4/24
Isu
Selangor

Harian Metro: Stadium Merdeka hangatkan saingan Piala Sultan Selangor 2024


Shah Alam: Penganjuran perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024 pada Ogos depan bakal membuka lembaran baharu buat stadium penuh bersejarah negara, Stadium Merdeka.

Pengerusi dan pengurus pasukan TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata pertandingan itu adalah acara sulung di gelanggang mercu tanda itu selepas ia ditutup bagi menjalani proses naik taraf pada 2016.

Beliau berkata, penganjuran Piala Sultan Selangor itu sendiri dihidupkan semula selepas perlawanan tahunan itu tidak diadakan sejak 2020 berikutan pandemik COVID-19.

"Ini mencetuskan juga idea kepada semua lapisan masyarakat mengenai imej Stadium Merdeka. Sejarah Stadium Merdeka selepas ini dicetus melalui Piala Sultan Selangor yang akan diadakan pada 17 Ogos.

"Ia adalah pemasaran yang baik untuk stadium itu sendiri. Kami juga menggalakkan penggunaan kenderaan awam sebab banyak pembinaan sedang berlaku di Stadium Merdeka dan tak akan tamat. Pihak Prasarana Malaysia Bhd juga bersetuju melanjutkan masa sehingga 12 tengah malam pada waktu itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat dan majlis berbuka puasa Jawatankuasa TSSC, di sini semalam yang turut dihadiri Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Stadium Merdeka yang menjadi mercu tanda penuh bersejarah tanah air, sebelum ini ditutup bagi kerja pemuliharaan dan penambahbaikan.

Proses baik pulih itu dijangka siap pada April atau Mei dan perkembangannya turut dipantau Permodalan Nasional Berhad selaku pihak pengurusan stadium.

Stadium Merdeka dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun.

Ia menjadi tuan rumah bagi detik paling bersejarah apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.