Suara

Peristiwa
19/1/24
Selangor
Air

Harian Metro: Selangor akan tanggung peningkatan kos lebih sejuta penerima SADE

Shah Alam: Kerajaan Negeri akan menyerap dan tanggung peningkatan kos bagi lebih sejuta rakyat meliputi 285,673 akaun penerima air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan (SADE).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketetapan yang dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) itu mengambil kira peningkatan kadar tarif yang yang diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Ini membawa maksud manfaat yang diterima bagi setiap isi rumah yang menerima SADE sebelum ini sebanyak anggaran RM11.40 sebulan meningkat kepada RM13.00 sebulan.

"Kos tanggungan kerajaan negeri akan meningkat daripada RM31.8 juta kepada anggaran RM37.3 juta setahun.

"Tambahan kepada itu, kerajaan negeri juga akan menanggung peningkatan bagi rumah-rumah ibadah dan rumah-rumah kebajikan di Selangor dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, secara keseluruhan, tanggungan kos kepada kerajaan negeri bagi pemberian air percuma melalui SADE dan penyerapan peningkatan tarif air bagi rumah ibadah dan rumah kebajikan adalah sebanyak anggaran RM40 juta setahun.

"Jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2024 bagi bantuan air percuma adalah mencukupi bagi manfaat dan kemaslahatan rakyat.

"Kerajaan negeri juga membuka peluang kepada rakyat negeri yang berpendapatan RM5,000 ke bawah dan ingin memohon untuk air percuma SADE untuk melayari laman web https://www.airselangor.com/residential/skim air-darul-ehsan/ bagi maklumat lanjut serta proses pemberian air percuma," katanya.

Dalam pada itu katanya, memandangkan ini pelarasan tarif air pertama sejak 18 tahun lalu kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat termasuk agensi pelaksana iaitu SPAN.

"Di peringkat negeri, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) adalah penyedia perkhidmatan bekalan air terbesar di Malaysia.

"Air Selangor menyampaikan air bersih kepada lebih 8 juta rakyat yang meliputi 2,661,743 akaun termasuk pengguna domestik serta bukan domestik merangkumi perusahaan kecil dan sederhana sehingga kepada perusahaan multinasional," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.