Media

Peristiwa
22/12/23
Selangor
Negara

Harian Metro: Kapal Israel dilarang berlabuh di Malaysia

Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuatkuasa serta merta.

Beliau berkata, sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

"Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.

"Namun, Kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu. Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, selain itu, Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Beliau berkata, kedua-dua sekatan itu berkuatkuasa serta-merta.

"Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.