Media

Peristiwa
27/2/24
Selangor
Perayaan

Harian Metro: 264 lokasi bazar Ramadan di Selangor

Shah Alam: Sebanyak 264 lokasi bazar Ramadan membabitkan 16,693 lot niaga akan beroperasi di seluruh Selangor tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Keusahawanan, Mohd Najwan berkata, kemungkinan ada pertambahan dalam jumlah itu dalam masa terdekat.

"Jumlah permit yang dikeluarkan bertambah berbanding tahun lalu. Insya-Allah dalam tempoh beberapa hari ini mungkin ada pertambahan.

"Ini bergantung kepada kesesuaian pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing.

"Di Shah Alam sahaja, sebanyak 39 tapak bazar Ramadan dengan membabitkan 2,268 lot niaga bazar Ramadan yang dipecahkan mengikut zon," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Permit dan Kit Bazar Ramadan 2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MBSA dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dalam usaha membantu usahawan di Selangor.

"Salah satu pengisian kerjasama ini dalam bazar Ramadan untuk penjaja mempromosikan konsep pembayaran dalam talian dan menggerakkan usahawan menggunapakai teknik digitalisasi untuk jualan mereka.

"Peniaga dan penjaja digalakkan bergerak ke arah pembayaran tanpa tunai... setiap penjaja digalakkan menyediakan kod QR di gerai mereka nanti," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengulas ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan sama seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekiranya penjaja bazar Ramadan Selangor menyewakan kepada pihak lain

"Kalau di Selangor, ini bidang kuasa PBT... memang ada peraturan dan juga proses yang mana mereka yang mendapat permit perlu menjalankan operasi atas nama pemilik permit.

"Sekiranya ada kes, kita akan mengambil tindakan sewajarnya. Pada masa ke semasa pihak PBT Selangor akan turun ke bazar Ramadan untuk memantau, melihat, menyemak penjaja ini.

"Sekiranya ada aduan salah guna permit, tindakan akan diambil kepada mereka. Tahun lalu tiada kes, peniaga penjaja menghormati mematuhi peraturan ditetapkan oleh PBT," katanya.

Semalam media melaporkan penjaja yang didapati menyewakan tapak bazar Ramadan kepada pihak lain, akan dikenakan tindakan tegas oleh DBKL.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.