Media

COVID-19
12/1/21
Isu
Selangor
Negara
Bantuan
STFC19

BH Online: Selangor mahu beli lima juta vaksin COVID-19

Berita terbit di bharian.com.my pada 11 Januari 2021.

SUNGAI BESAR: Kerajaan Selangor akan membeli tiga hingga lima juta dos vaksin COVID-19 bagi mengawal penularan wabak terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata langkah itu menjadikan bekalan vaksin COVID-19 mencukupi untuk penduduk Selangor dan memastikan kesihatan rakyat terus terjamin.

"Selangor perlu membeli sebab keperluannya lebih kerana industri negeri memerlukan pekerja, termasuk pekerja asing.

"Setakat ini, vaksin COVID-19 disediakan kepada warganegara. Mereka (pekerja asing) perlu membeli vaksin terbabit," katanya, hari ini.

Amirudin ditemui selepas Majlis Perasmian Dataran Patriotik Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, di sini.

Amirudin berkata, pembelian vaksin itu akan dibincangkan dengan Kerajaan Persekutuan, selain dibawa pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rabu ini.

"Saya sedang usahakan sejak minggu lalu dan akan muktamadkan apabila semua urusan selesai," katanya.

Ketika ditanya mengenai langkah kerajaan negeri membendung penularan susulan Selangor mencatatkan bilangan kes COVID-19 harian tertinggi, beliau berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negeri pada minggu lalu.

Katanya, beberapa perancangan dan pelan tertentu dalam tindakan, namun sebahagiannya perlu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita akan cuba membantu MKN kerana ketika ini suasana berbeza, memandangkan Selangor dan beberapa negeri mencatatkan kes tertinggi, terutama membabitkan pekerja kilang dalam kalangan warga asing yang disaring.

"Sebelum ini, mereka (pekerja asing) tidak disaring. Apabila Selangor antara negeri mewajibkan pekerja asing disaring, akhirnya kita mendapat kes tinggi," katanya.

Seterusnya
SELANGOR MAJU BERSAMA
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.