Media

Peristiwa
24/2/21
Isu
Selangor

BH Online: Lepas bahan buangan ke Sungai Selangor, pengusaha kolam ikan keli didakwa

Berita terbit di bharian.com.my pada 23 Februari 2021.

KUALA KUBU BHARU: Seorang pengusaha kolam ikan keli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Kubu Bharu, atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan melepaskan bahan buangan daripada premisnya ke dalam Sungai Selangor, sehingga menyebabkan bekalan air susut pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Tan Kim Hong, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 haribulan selain dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tan Kim Hong, didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dari sebuah premis dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Selangor dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia di sebuah premis penternakan ikan keli di Serendah, Hulu Selangor, pada 7 Disember tahun lalu.

Pertuduhan ke atasnya dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin.

Katanya, kes berkenaan telah menyebabkan sekitar lima juta pengguna air di 1,000 kawasan di Selangor terjejas selama lapan jam dan ini adalah kes pencemaran keempat sejak Januari 2020.

"Sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, mohon jaminan yang cukup tinggi bagi menunjukkan mahkamah memandang serius kes sebegini," katanya.

Pada 24 Disember tahun lalu, Tan bersama empat pekerjanya ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pencemaran air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang pada 7 Disember tahun yang sama.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.