Media

Terkini
21/11/23
Isu
Selangor

Berita Harian: Syarat penjualan rumah kuota Bumiputera kekal di Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan negeri masih mengekalkan mekanisma sedia ada dalam menentukan peratusan kuota Bumiputera berdasarkan pelan tindakan Perumahan Negeri Selangor bagi sesuatu projek pembangunan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Borhan Aman Shah, berkata perkara ini akan disyaratkan atau dikenakan ketika kelulusan tukar syarat kegunaan dan pemberi milikan tanah.

"Kelulusan itu diperoleh pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dikeluarkan Pejabat Daerah/Tanah atau Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS).

"Pihak pemaju perlu memastikan syarat kuota Bumiputera itu dipatuhi ketika proses penjualan hartanah. PTGS pula akan membuat pemantauan pada peringkat permohonan kelulusan oleh pihak pemaju.

"Jika pemaju tidak mematuhi syarat kuota Bumiputera atau pemaju terlebih jual unit bukan Bumiputera, maka proses kelulusan (blanket consent atau blanket approval) tidak dapat diteruskan," katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (PH) berhubung penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Borhan berkata, pemaju juga akan disenarai hitam daripada membuat sebarang permohonan pelepasan kuota Bumiputera di Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) dan dikenakan denda lebih berat.

"Pemaju dikehendaki membuat permohonan pelepasan kuota Bumiputera di LPHS berdasarkan syarat ditetapkan seperti dinyatakan dalam Pekeliling LPHS Bilangan 1 Tahun 2019 berkenaan Mekanisma Penyelenggaraan Kuota Bumiputera Negeri Selangor 2.0.

"Bagaimanapun, bagi menjamin dan mengelak perkara ini berlaku, LPHS akan mengadakan kajian serta sesi libat urus dengan pemegang taruh yang terbabit supaya satu kaedah dapat diwujudkan," katanya.

Sementara itu, Borhan berkata, jika pembeli sudah membeli unit Bumiputera disebabkan ketidakpatuhan pemaju ketika proses penjualan terutama bagi pemaju yang digulungkan, pembeli dibenar membuat permohonan rayuan pengecualian atau pengurangan bayaran tujuh peratus atau 10 peratus pemulangan potongan harga Bumiputera.

"Selain itu, lima peratus caj pelanggaran mekanisma penyelenggaraan kuota Bumiputera dengan syarat pihak pemaju membuat permohonan pelepasan kuota Bumiputera di LPHS.

"Rayuan itu perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Keputusan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor untuk pertimbangan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan LPHS bersedia membantu pemohon membawa permohonan rayuan itu ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Keputusan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor untuk dibincangkan berdasarkan tatacara/ Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Ia seterusnya diangkat ke MMKN jika memerlukan kelulusan pihak berkuasa negeri," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.