Media

Ekonomi
10/7/24
Selangor

Berita Harian: Selangor buka permohonan baharu BINGKAS

SHAH ALAM: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat kini membuka permohonan baharu bagi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) 2024 dengan peruntukan sebanyak RM108 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari berkata kerajaan mensasarkan 30,000 penerima sekali gus menjadikan BINGKAS antara program bantuan kewangan terbesar berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, program ini menawarkan bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan untuk pembelian barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan kelengkapan pendidikan.

"Bagi tahun tahun ini, kerajaan negeri menambah baik pelaksanaan BINGKAS dengan memperluas syarat pendapatan bulanan isi rumah kepada RM5,000 dan ke bawah berbanding RM3,000 sebelum ini.

"Syarat kelayakan penuh program BINGKAS bagi 2024 adalah warganegara Malaysia, pengundi berdaftar di Selangor, lahir di Selangor atau menetap di Selangor melebihi 10 tahun.

"Selain itu, pemohon yang mempunyai sekurang-kurangnya tanggungan dua anak berusia 18 tahun ke bawah," katanya pada sidang media di lobi Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Anfaal berkata sejak diperkenalkan pada 2018, program BINGKAS berjaya meringankan beban kewangan dan meningkatkan daya tahan keluarga.

"Program BINGKAS ini diteruskan selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

"Seterusnya menyumbang ke arah pencapaian petunjuk makro Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi mengurangkan kemiskinan relatif dalam kalangan rakyat Selangor," katanya.

Anfaal berkata permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah atau menggunakan laman sesawang www.bingkasselangor.com bermula jam 3 petang, hari ini.

Katanya, tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Ogos ini.

"Sebarang maklumat lanjut boleh diajukan ke talian hotline Selcare 1-800-22-6600 atau melalui emel [email protected]," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.