Media

Peristiwa
4/12/23
Selangor

Berita Harian: 'Mimpi jadi realiti' buat Selangor FC

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa musim 'meratib' mengenai misi ke Asia, akhirnya 'mimpi menjadi realiti' buat penyokong apabila Selangor (SFC) menamatkan penantian tujuh tahun sejak 2016 untuk kembali bersaing di pentas Asia, musim depan.

Kemenangan berharga 1-0 diraih skuad 'The Red Giants' ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC semalam menyaksikan mereka mengesahkan tempat selaku naib juara Liga Super sekali gus layak bersaing ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim 2024/25.

Meskipun sekali lagi tidak memenangi sebarang trofi pada musim ini namun kejayaan itu diraikan dengan penuh kegembiraan khususnya buat penyokong SFC yang sudah lama menantikan detik indah terbabit.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid mengakui mereka bagaikan kehilangan kata-kata apatah lagi mereka turut menjadi saksi kemenangan SFC ke atas KDA FC di Stadium Darul Aman.

"Akhirnya pasukan menamatkan kemarau untuk ke pentas Asia dan setiap kesabaran dibalas dengan kemanisan ke Asia. Lebih manis adalah apabila Raja Muda Selangor yang juga Pengerusi SFC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut hadir ke perlawanan dengan menaiki bas.

"Naib juara Liga Super adalah salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) untuk musim ini dan pasukan perlu mencapai sasaran ditetapkan. Banyak peningkatan ditunjukkan pasukan bagi musim ini.

"Sudah tentu pasukan akan membawa lebih ramai pemain terbaik untuk menghadapi cabaran di peringkat Asia nanti," katanya.

Sebagai rekod, ini penamat liga terbaik buat SFC bagi tempoh empat tahun selepas meraih tempat ketiga pada musim 2019.

Sementara itu, penasihat Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC), Mohammad Haniff Rana Manzoor mengharapkan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu dapat memberi cabaran terbaik pada saingan ACL2 itu nanti.

"Apa yang kita idam-idamkan sebagai penyokong selama ini sudah berjaya dilunaskan dan sebagai wakil penyokong, saya berpuas hati apabila kita mencapai sasaran ke Asia bagi tahun depan.

"Kita mahu SFC menunjukkan semangat yang sama seperti mana ditunjukkan pada musim ini dan bermain dengan lebih baik lagi. Kita harap pasukan dapat berikan tentangan di ACL2 itu nanti," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.