Inisiatif

COVID-19
22/7/21
Isu
Selangor

Berita Harian: MAIS salur RM50,000 bantu urus jenazah pesakit COVID-19

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan dana RM50,000 bagi menyediakan peralatan pengurusan jenazah pesakit COVID-19 seperti set kelengkapan pelindung diri (PPE) dan beg mayat.

Peruntukan Baitulmal MAIS itu disalurkan kepada Amal Valley Organization iaitu pertubuhan yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menguruskan jenazah COVID-19 di hospital di Selangor.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata objektif sumbangan adalah sebagai tanda sokongan MAIS kepada maslahah umat Islam di negeri ini dalam menghadapi situasi penularan pandemik COVID-19.

Katanya, pengurusan jenazah adalah haddul kifayah umat Islam dan perlu disegerakan setiap pengebumiannya.

Sehubungan itu, katanya dengan adanya sumbangan berkenaan ia dapat melancarkan lagi pengurusan jenazah pesakit COVID-19 yang berbeza pengurusannya dengan pengurusan jenazah biasa.

"Kami difahamkan bagi satu kematian berpunca dari COVID-19, ia memerlukan kos minimum RM940.50 seorang.

"Keperluan yang disediakan adalah satu 'body bag' serta tujuh set PPE dan ia perlu diuruskan oleh pasukan yang terlatih dan berpengalaman.

"Justeru, sebagai kebersamaan pihak MAIS dan JAIS dalam urusan membabitkan maslahah ummah ini, sumbangan MAIS ini disalurkan kepada JAIS melalui Amal Valley Organization bagi melancarkan urusan pengebumian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Amal Valley Organization, Dr Azfar Hussin, berkata keperluan PPE meruncing apabila bilangan jenazah pesakit COVID-19 semakin bertambah dan dana semakin berkurangan.

"Keselamatan sukarelawan menjadi keutamaan kerana bilangan sukarelawan yang 'berani' menguruskan jenazah COVID-19 tidak seramai pengurusan jenazah biasa, maka kewajipan persatuan untuk memastikan keselamatan mereka.

"Terima kasih kepada pihak MAIS dan JAIS atas keprihatinan ini, semoga kerjasama seperti ini dapat merancakkan nilai serta semangat kesukarelawanan di kalangan rakyat Malaysia

"Semoga dengan bantuan MAIS dapat meringankan beban pengurusan hospital bagi urusan jenazah pesakit COVID-19," katanya.

Dalam pada itu, masyarakat Islam di Selangor yang ingin menyumbang bolehlah layari laman web MAIS iaitu di www.mais.gov.my untuk keterangan lanjut.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.