Media

Peristiwa
16/4/24
Selangor

Berita Harian: Ketibaan pelancong China ke Malaysia dijangka melebihi paras pra-COVID akhir tahun ini - CPAFFC

KUALA LUMPUR: Hubungan antara rakyat Malaysia dan China akan terus berkembang dengan lebih banyak pertukaran dan pergerakan rakyat di semua peringkat seiring dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun ini , kata Yang Wanming Presiden Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Luar (CPAFFC).

Beliau berkata Malaysia merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong China dan menjelang hujung tahun ini angka ketibaan pelancong China melawat Malaysia dijangka lebih tinggi daripada perangkaan dicatatkan pada masa pra-pandemik 2019.

"Dijangka angka pelancong China melawat Malaysia tahun ini mencecah 3.36 juta menjelang penghujung tahun ini berbanding 3.1 juta dalam 2019," beliau memberitahu Bernama dengan bantuan seorang penterjemah selepas satu perjumpaan dengan Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC), di sini semalam.

Yang mengetuai delegasi enam ahli CPAFFC yang dalam lawatan ke Malaysia dari 14 hingga 17 April. Selain, Kuala Lumpur delegasi itu juga dijadualkan melawat Putrajaya dan Melaka.

Mengulas lanjut mengenai Jubli Emas hubungan diplomatik Malaysia dan China, Yang berkata kerjasama antara kedua-dua negara sudah terjalin buat sekian lama dan China melihat Malaysia sebagai sebuah negara dan rakan dagang yang penting.

"Pembinaan hubungan antara China dengan Malaysia amat penting. China dan Malaysia adalah rakan kongsi strategik," katanya.

Beliau berharap hubungan antara Malaysia dan China boleh diperluaskan pada masa hadapan, termasuk menerusi pertukaran penjawat awam dalam semua sektor, mengukuhkan bandar berkembar antara kedua-dua negara selain daripada penganjuran lebih banyak dialog, persidangan dan simposium untuk menggalakkan kefahaman antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata seharusnya lebih banyak pertukaran pemimpin muda, kebudayaan dan kesenian antara kedua-dua negara sementara media di kedua-dua belah pihak memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat positif.

Sementara itu Presiden PPMC Datuk Abdul Majid Ahmad Khan ketika ditanya mengenai perjumpaan yang diadakan di Menara Berkembar Petronas, di sini berkata kedua-dua pihak mencapai kesimpulan bahawa dalam 50 tahun lepas Malaysia dan China telah memupuk hubungan kepada apa yang disaksikan hari - amat sihat dan kuat.

"Maka tibanya ulang tahun ke-50 ini bukan hanya satu acara atau sambutan tetapi suatu manifestasi kejayaan dan pencapaian yang kita sebenarnya capai dalam bentuk saling mempercayai dan menghormati, kefahaman dan peringkat kerjasama antara kedua-dua negara," katanya.

Abdul Majid berkata untuk masa hadapan terdapat cadangan bahawa Malaysia seharusnya memanfaatkan kekuatan China dalam tenaga baharu, kecerdasan buatan dan banyak lagi.

China juga telah berjaya melatih perusahaan kecil dan sederhananya untuk menjadi pengeskport yang baik dan ada sesuatu yang perlu dipelajari Malaysia, katanya.

Sementara itu bekas Presiden MCA dan Menteri Kesihatan Tan Sri Liow Tiong Lai yang juga menghadiri perjumpaan itu berkata beliau telah mencadangkan lebih banyak pertukaran pelajar antara Malaysia dan China kerana pada pandangan beliau jumlah program sedemikian adalah sangat rendah ketika ini.

Pertukaran pelajar adalah pelaburan hubungan antara rakyat yang terbaik, katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.