Media

Peristiwa
28/3/23
Selangor

Berita Harian: Kemenangan PH, rakan Kerajaan Perpaduan di Selangor indikator kestabilan

KLANG: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan rakan kerjasamanya dalam Kerajaan Perpaduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti penting kerana ia indikator utama dalam memastikan kestabilan politik negara.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata justeru PH dan rakan kerjasamanya dalam Kerajaan Perpaduan mesti menang dan mendapat mandat yang meyakinkan di Selangor dalam PRN akan datang.

"Jadi cabaran politik kita dalam fasa kedua selepas 100 hari pertama (Kerajaan Perpaduan) ini ialah mesti menang dan mendapat mandat yang meyakinkan daripada rakyat terutama di negeri yang dipimpin oleh PH," katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2023 hari ini.

Turut hadir Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan seterusnya meletakkan sasaran untuk mempertahankan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang DAP di Selangor sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pembentukan kerajaan negeri yang mantap dan stabil.

Katanya ini kerana Selangor berada di kedudukan yang strategik, dekat dengan ibu kota dan kebanyakan pusat pentadbiran dan ekonomi berada di negeri itu, sekali gus menjadikannya tumpuan utama atau paling 'central' di negara ini.

"Ramai rakyat Malaysia dari seluruh negara yang belajar dan bekerja serta hidup di Selangor walaupun kemungkinan bukan lahir di sini.

"Jadi di Selangor ini, DAP mesti memainkan peranan sebagai satu parti yang memberi peluang kepada anak muda supaya dapat dicungkil bakat untuk terus memperkukuhkan kepimpinan dan jentera parti kerana memang ramai pemimpin muda dalam DAP pada hari ini bermula di Selangor," katanya.

– BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.