Media

COVID-19
19/1/22
Isu
Selangor
STFC19

Berita Harian: JAIS keluarkan ketetapan baharu solat Jumaat

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau, yang mendapat kebenaran solat Jumaat di negeri ini bagi menunaikan solat fardu Jumaat berikutan perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata Sultan Selangor turut berkenan bagi jarak antara satu jemaah dengan jemaah yang lain ditetapkan dengan jarak satu meter.

Katanya, berikutan perkenan terkini daripada Sultan Sharafuddin, satu surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh JAIS kepada kesemua masjid dan surau terbabit dalam tempoh terdekat untuk dilaksanakan pada hari Jumaat bertarikh 21 Januari 2022.

"Ketetapan baharu ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah bilangan jemaah yang dibenarkan melalui ketetapan terakhir JAIS pada 1 November tahun lalu.


"Sebanyak 427 masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat akan terbabit dengan ketetapan terbaharu ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketetapan baharu itu bagaimanapun, masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada jemaah.


Mohd Shahzihan berkata, ketetapan itu juga menyentuh beberapa perkara berbangkit berhubung dengan hal ehwal aktiviti pengimarahan, pengurusan solat, pengurusan jemaah serta pengurusan jenazah.

Katanya, pentadbir perlu memainkan peranan untuk mengambil pendekatan keseimbangan (wasotiyyah) dalam mengurus pertembungan sikap individu dan jemaah atau masyarakat dalam beberapa perkara berhubung penguatkuasaan SOP yang ditetapkan.


"JAIS amat berharap agar ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan kefarduan mengerjakan Solat Fardu Jumaat.

"Justeru, diingatkan bahawa hanya individu yang sudah berusaha mendapatkan tempat bagi mendirikan solat Jumaat tetapi tidak berjaya akan diangkat kefarduan Jumaatnya selaras dengan pandangan Jabatan Mufti Negeri Selangor mengenainya bertarikh 13 Jun 2020 dan 22 Julai 2020 yang masih dikekalkan sehingga kini," katanya.



Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.