Media

Peristiwa
1/12/23
Negara
Selangor

Berita Harian: Insentif tunai ditawar bagi syarikat sertai Dasar Gaji Progresif - Rafizi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan insentif tunai di antara RM200-RM300 mengikut kadar dan kumpulan pekerja bagi syarikat yang menyertai program rintis Dasar Gaji Progresif bermula tengah tahun depan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, berkata bagi kumpulan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM200 sebulan selama 12 bulan, sekiranya syarikat membayar gaji pada kadar yang sama atau melebihi cadangan panduan kenaikan gaji tahunan.

Katanya, bagi kumpulan pekerja bukan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM300 sebulan selama 12 bulan sekiranya syarikat memberi kadar kenaikan gaji tahunan berdasarkan panduan kenaikan gaji tahunan.

"Pada tahun pertama pelaksanaan, cadangan had gaji ditetapkan untuk pekerja yang menerima gaji bulanan di bawah RM5,000 dan tidak kurang daripada gaji minimum.

"Cadangan ini mengambil kira jumlah pekerja yang menerima gaji bulanan di dalam lingkungan RM1,500 dan RM4,999 merangkumi 66.6 peratus atau seramai empat juta pekerja.

"Had gaji yang ditetapkan ini mampu memberi liputan yang cukup luas untuk pekerja swasta menerima manfaat daripada inisiatif ini," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Rafizi berkata, kerajaan mengunjurkan dana permulaan antara RM20 juta hingga RM30 juta untuk setiap syarikat yang mengambil bahagian dalam projek rintis itu nanti, selepas mengambil kira perbezaan sektor, jumlah pekerja terbabit, serta kemampuan fiskal semasa.

"Peruntukan dana untuk pelaksanaan inisiatif di bawah Dasar Gaji Progresif akan disediakan oleh kerajaan mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan.

"Insentif akan disalurkan berasaskan 'first come, first served', dengan mekanisme pembayaran akan diperhalusi untuk tidak membebankan syarikat bersaiz kecil, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, bagi pekerja yang terbabit, untuk mereka mendapat kenaikan berkenaan, mereka harus terbabit dalam program latihan dan peningkatan kemahiran yang ditentukan oleh jawatankuasa-jawatankuasa terbabit - pembangunan dasar, pembangunan sistem, peningkatan kemahiran, dan panduan kenaikan gaji tahunan.

Dengan andaian pemberian insentif daripada kerajaan sebanyak RM2 bilion, Rafizi berkata, Dasar Gaji Progresif dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja, dengan tambahan nilai keluaran dalam negeri kasar(KDNK) benar sebanyak RM3.3 bilion.

Selain itu, Rafizi berkata, ia juga akan memberi tambahan kepada caruman KWSP sebanyak RM0.79 bilion, tambahan hasil cukai pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dengan tambahan 37,529 orang pembayar cukai pendapatan baharu pada tahun pertama pelaksanaan.

Rafizi berkata, projek rintis berkenaan akan bermula Jun 2024, dan apabila menjelang September, kerajaan akan mempunyai gambaran yang lebih jelas mengenai berapa jumlah simpanan, rasionalisasi, serta konsolidasi fiskal, sebelum menentukan dana bagi tahun seterusnya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.