Inisiatif

Terkini
3/8/22
Selangor
Sidang

Berita Harian: DUN Selangor lulus projek RS-1 RM212.44 bilion

SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul projek pembangunan Rancangan Selangor Pertama 2021-2025 (RS-1) berjumlah RM212.44 bilion selepas mendapat persetujuan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibahas 28 ADUN sejak Khamis lalu.

Speaker DUN, Ng Suee Lim, berkata ADUN Selangor dilihat sangat berminat berbahas berkaitan usul itu berbanding kebiasaannya satu usul hanya lima atau enam orang saja yang berbuat demikian.

"Mungkin ini disebabkan RS-1 tidak pernah dibentangkan, jadi ramai ahli (ADUN) ingin turut serta. Perkara ini juga satu sejarah, ramai yang ingin nama mereka tercatat dalam sejarah," katanya kepada media selepas persidangan DUN Selangor, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada akhir sidang DUN berkata, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pembangkang termasuk menubuhkan jawatankuasa khas baharu atau melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) memantau pelaksanaan RS-1.

"Kita percaya kepada pemisahan kuasa, kita akan pisahkan di antara kuasa eksekutif dan legislatif, dari situlah dapat dipraktikkan langkah terbaik dan rujuk apakah pelaksanaan projek.

"Kalau tak cukup, gunakan Jawatankuasa Kira-Kira Negeri (PAC) atau SELCAT untuk semak perkembangan RS-1 dan ADUN mempunyai kebebasan serta kuasa penuh berbanding duduk dalam eksekutif yang sedikit sebanyak bertentangan dengan semangat pemisahan kuasa," katanya.

Pada 27 Julai lalu, Amirudin membentangkan perancangan lima tahun RS-1 itu yang akan memberi fokus khusus terhadap pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

"Dengan itu, saya ingin mencadangkan dewan ini ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak dan dijangka sebagai persidangan belanjawan," katanya mengakhiri penggulungan perbahasan RS-1.

Sidang DUN Selangor ditangguhkan ke satu tarikh akan ditetapkan kelak. – BERNAMA


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.