Media

COVID-19
11/4/22
Isu
Negara

Berita Harian: COVID-19 - Hanya Selangor guna katil ICU lebih 50 peratus

KUALA LUMPUR: Selangor satu-satunya negeri merekodkan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 melebihi 50 peratus semalam.

Data menunjukkan penggunaan katil ICU di negeri itu pada kadar 56 peratus, manakala penggunaan katil bukan kritikal pada kadar 50 peratus. Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing 33 peratus serta Johor dan Pulau Pinang, masing-masing 29 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan jumlah keseluruhan penggunaan katil ICU bagi pesakit dijangkiti virus itu di seluruh negara semalam adalah 24 peratus, manakala bagi katil bukan ICU pula 25 peratus.

"Bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), tiada negeri yang menunjukkan peratusan melebihi 50 peratus. Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 109, dengan penggunaan ventilator sebanyak 13 peratus," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes COVID-19 ke hospital, berbanding kes COVID-19 kategori 1 hingga 5 yang baru didiagnos setiap hari disebabkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti.

"Pada masa sama, terdapat juga kes COVID-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Sebanyak 14,944 kes baharu COVID-19 dilaporkan sehingga tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan wabak itu di Malaysia kini 4,307,529.

Kategori 1 mencatatkan 9,341 kes (62.51 peratus), kategori 2 (5,537 kes, 37.05 peratus), kategori 3 (31 kes, 0.2 peratus, kategori 4 (16 kes, 0.11 peratus) dan kategori 5 (19 kes, 0.13 peratus).

Daripada 66 kes COVID-19 kategori 3 hingga 5, 11 atau 16.67 peratus dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 35 atau 53.03 peratus sudah menerima dua dos vaksin, namun belum menerima dos penggalak.

Selain itu, sebanyak 20 kes (30.3 peratus) sudah menerima dos penggalak, 33 kes (50 peratus) berusia 60 tahun ke atas dan 32 kes (48.48 peratus) mempunyai komorbid.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 bagi seluruh negara semalam adalah 0.84 dengan Selangor mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 0.96, diikuti Negeri Sembilan (0.83), Perak dan Terengganu (0.79) serta Melaka dan Kuala Lumpur (0.78).

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.