Media

Ekonomi
2/4/24
Negara

Berita Harian: Bank Dunia kekalkan unjuran ekonomi Malaysia pada 4.3 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR: Bank Dunia mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 4.3 peratus bagi 2024 dipacu penggunaan swasta serta pemulihan eksport.

Unjuran itu dilihat sejajar dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Aaditya Mattoo, berkata Malaysia mempunyai peluang yang besar untuk pertumbuhan selanjutnya dan perlu mewujudkan peluang baharu bagi menjana peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata, negara ini mempunyai ekonomi terbuka, justeru kadar faedah global yang tinggi mempunyai kesan kepada negara ini.

Katanya, negara ini juga terdedah kepada China dan mengingatkan pertumbuhan perlahan di ekonomi kedua terbesar dunia itu akan memberi kesan.

"Kami jangka pertumbuhan 4.3 peratus (tahun ini). Ia akan dipacu oleh penggunaan swasta dan terdapat sokongan berterusan pendapatan isi rumah.

"Memandangkan Malaysia bergantung kepada eksport, justeru pemulihan eksport akan memberi manfaat. Malaysia juga akan meraih manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penilaian mengenai ekonomi Malaysia dan cabaran bagi tahun ini pada sidang media Bank Dunia - Pelancaran Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik secara dalam talian hari ini.

Mengenai paras hutang negara, Mattoo berkata, paras hutang kerajaan masih lagi rendah meskipun ia meningkat secara ketara sejak pandemik.

Beliau berkata, hutang isi rumah dan korporat di negara ini juga tinggi berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Pada 2023, ekonomi Malaysia terus kukuh dan berdaya tahan dengan berkembang 3.7 peratus meskipun keadaan persekitaran luaran mencabar.

Dalam Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia itu menunjukkan ekonomi negara sedang membangun Asia Timur dan Pasifik berkembang lebih cepat daripada seluruh dunia tetapi lebih perlahan berbanding sebelum pandemik.

Bank Dunia berkata, sementara pemulihan perdagangan global dan keadaan kewangan yang reda dijangka menyokong ekonomi di rantau ini, peningkatan hutang, perlindungan dan ketidakpastian dasar boleh menjejaskan pertumbuhan.

Katanya, pertumbuhan serantau diunjurkan lebih rendah kepada 4.5 peratus pada 2024 berbanding 5.1 peratus pada tahun lalu.

Sementara pertumbuhan dalam negara sedang membangun Asia Timur dan Pasifik tidak termasuk China diunjurkan meningkat kepada 4.6 peratus tahun ini berbanding 4.4 peratus pada 2023.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.