Suara

Peristiwa
13/9/21
Isu

Berita Harian: Aktiviti tanah di Bukit Tabur dihentikan - MB Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menegaskan tiada sebarang kelulusan diberikan bagi aktiviti tanah di Bukit Tabur, Taman Melawati di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia hasil semakan lanjut yang dibuat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Daerah Gombak susulan penyebaran gambar sebuah jentolak di lokasi itu.

"Kerja-kerja berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri Selangor dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Anggota penguat kuasa sudah turun ke lokasi itu untuk menghentikan aktiviti berkenaan dan menyita jentera yang terbabit," ciapnya menerusi akaun Twitter rasminya.

Mengenai orang ramai yang mempersoalkan penguatkuasaan, Amirudin berkata, PBT mempunyai keterbatasan dari segi jumlah anggota penguat kuasa dan kini tertumpu kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis dan sebagainya.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan aduan daripada orang awam dan akan terus meningkatkan tahap penguatkuasaan dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter meminta penjelasan daripada Amirudin berhubung kehadiran pihak kontraktor di Bukit Tabur dan turut memuatnaik beberapa gambar yang menunjukkan terdapat aktiviti tanah di kawasan itu.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.