Media

Peristiwa
18/4/24
Selangor

Berita Harian: 10 peratus daripada 1,900 premis di Selangor tidak patuhi piawaian FC

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merekodkan 10 peratus daripada 1,900 premis yang memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC) tidak memenuhi piawaian sijil itu sebagaimana ditetapkan dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata selain tidak melaksanakan latihan keselamatan kebakaran, sistem keselamatan kebakaran tidak berfungsi dengan baik dan ada premis membuat pengubahsuaian dalam bangunan tanpa memaklumkan kepada pihak bomba.

Menurutnya, sembilan kategori premis yang memerlukan FC meliputi hospital dan rumah rawatan, perpustakaan, hotel, asrama, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan dan storan am.

"Latihan kebakaran perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi menilai tahap keselamatan dan kesiapsiagaan bomba dan pasukan tindakan kecemasan (ERT) sesebuah bangunan.

"Setiap bangunan perlu memastikan sistem pencegahan keselamatan bangunan berfungsi dengan baik dan tidak menjadi punca kepada kegagalan dalam operasi pemadaman dan penyelamatan.

"Kita mesti melaksanakan (latihan) setiap bangunan yang ditetapkan dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988 membabitkan sembilan kategori bangunan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai latihan kebakaran dan penyelamatan mangsa di pusat beli-belah AEON Mall di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, masih ada sebahagian bangunan di Selangor ini tidak mempunyai FC.

"Ada yang masih dalam proses pemeriksaan. Ada juga bangunan yang sedang didakwa kerana tidak mengikut dan mendapati garis panduan atau peraturan dalam akta bomba itu," katanya.

Mengulas kejadian banjir di Selangor katanya, keadaan terkawal yang mana sebahagian mangsa banjir sekitar Sungai Buloh dan Kuala Selangor sudah dibenarkan pulang setakat jam 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, katanya pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Merbau Sempak dan Dewan MPKS Desa Coalfields masih dibuka.

"Kebanyakan air di tempat terjejas sudah surut dan sebahagian mangsa sudah pulang ke rumah. Kita benarkan mereka pulang selepas melihat memantau keadaaan di sana.

"Kes banjir ini berpunca akibat pertembungan hujan lebat dengan air pasang. Bagaimanapun keadaan terkawal.

"Kira-kira 500 anggota bersedia untuk digerakkan setiap hari memandangkan cuaca ketika ini tidak menentu. Aset juga dalam keadaan baik," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.