Media

Ekonomi
29/3/23
Isu
Selangor

Astro Awani: SIBS 2023 diunjur rekod jualan berpotensi bernilai RM1.5 bilion

PETALING JAYA: Invest Selangor Bhd (Invest Selangor) menyasarkan nilai jualan berpotensi sebanyak RM1.5 bilion bagi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023.

SIBS 2023 dengan tema Selangor, Gateway for ASEAN bakal berlangsung selama empat hari bermula 19 Oktober akan datang, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Exco Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, SIBS 2023 akan terus memainkan peranan sebagai acara utama rantau bagi pemain industri antarabangsa dan tempatan dalam meneroka potensi pasaran di Malaysia serta luar negara.

“Tahun ini kita turut akan mengadakan keseluruhan enam acara yang bakal diadakan secara serentak, sekali gus disasar mampu membuka peluang pelaburan dan perniagaan lebih luas kepada syarikat-syarikat berpotensi terlibat.

“Daripada nilai jualan berpotensi disasarkan berkenaan, kita menjangkakan ia disumbangkan oleh subsektor makanan dan minuman, pembinaan dan bandar pintar. Tahun ini, acara turut dijangka menarik minat penglibatan daripada 70 buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi Pelancaran SIBS 2023 di Hotel Sheraton di sini semalam.

Sebagai rekod, penganjuran SIBS 2022 mencatatkan jualan berpotensi tinggi sebanyak RM1.45 bilion.

Acara yang menyasarkan lebih 50,000 pengunjung perdagangan tersebut akan melibatkan keseluruhan 1,050 buah reruai yang memenuhi lapan dewan ekspo dan dua dewan persidangan.

Menurut Teng, acara Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) (F&B) edisi kesembilan turut diadakan pada penganjuran sama, yang bakal menarik lebih ramai pengendali industri makanan dan rantaian bekalan di peringkat tempatan serta luar negara.

“Kita turut menganjurkan Ekspo Antarabangsa Selangor kesembilan (Medic) dengan melibatkan keseluruhan 115 pempamer, Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK 2023) ketiga, serta Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC 2023) edisi ketujuh.

“Acara SABC 2023 selama dua hari akan disertai seramai 700 peserta tempatan dan luar negara termasuk penceramah di peringkat rantau. Ia melibatkan dua acara yang berlaku secara serentak iaitu Investment Track dan Smart City Track,” ujarnya.

Turut bakal berlangsung termasuk Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC 2023) dan Ekspo Inovasi serta Kajian dan Penyelidikan Selangor (SRIE 2023) siri keempat.

Pempamer yang ingin menyertai SIBS 2023 boleh menghubungi sekreteriat Invest Selangor sebelum 31 Mac untuk menikmati potongan 30 peratus.

Manakala mereka yang ingin turut serta sebagai peserta boleh membuat pendaftaran di laman web www.selangorsummit.com

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.