Media

Peristiwa
27/3/24
Selangor
Perayaan

Astro Awani: KDEBWM kutip 73 tan metrik sisa makanan di bazar Ramadan di Selangor

CYBERJAYA: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip sebanyak 73 tan metrik sisa makanan daripada 10,854 bazar Ramadan di tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi tempoh dua minggu pertama Ramadan tahun ini.

Pengarah Urusannya Datuk Ramli Mohd Tahir berkata angka lambakan sisa makanan itu tidak menunjukkan penurunan dibandingkan dengan tahun lepas.

"Kami (KDEBWM) dapati masih berlaku lambakan makanan yang dibuang di bazar Ramadan. Tahun lepas saya tengok rekod sebanyak 73.67 tan metrik sisa bazar Ramadan dikutip setiap hari.

"Dalam dua minggu pertama ini, saya nampak angka itu lebih kurang saja iaitu antara 73, 75 dan 76 tan," katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) di sini pada Isnin.

Pada 15 Mac lepas, sebuah portal melaporkan pihak KDEBWM menjangkakan peningkatan sisa makanan daripada bazar Ramadan tahun ini berbanding 73.67 tan metrik pada 2023.

Bagi mengelak perkara itu berlarutan Ramli menasihatkan penjual di bazar Ramadan melakukan anggaran jualan sebelum memasak untuk dijual kepada pelanggan.

"Jadi saya ingin menyeru kepada semua peniaga bazar...apabila masak agak-agaklah tak perlu masak terlampau banyak sebab di bazar sudah tentu banyak pilihan makanan. Takut peniaga lain jual menu yang sama, jadi akan berlaku pembaziran," katanya.

Beliau turut mengajak peniaga bazar Ramadan dan masyarakat merenung nasib rakyat Palestin yang menghadapi kekurangan makanan akibat konflik Palestin-Israel yang masih berlarutan.

"Kami jalankan tugas kutip lebihan makanan daripada bazar dan terpaksa lupuskan sedangkan ini adalah rezeki. Ketika rakyat Palestin kekurangan makanan, kita pula bermewah hingga terpaksa buang," katanya.

Ditanya mengenai 'MySaveFood', beliau menyatakan sokongan penuh terhadap program itu yang disifatkan sebagai platform untuk menerapkan amalan menghargai makanan dan mengelak pembaziran.

"Saya sokong 100 peratus program ini, sebab ia langkah yang baik untuk kita selamatkan makanan. Selamatkanlah selagi boleh dengan cara memberikan kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Program MySaveFood diwujudkan bagi membudayakan sistem pengurusan lebihan makanan daripada bazar Ramadan secara efektif untuk dimanfaatkan kepada golongan memerlukan, selari dengan konsep Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.