Inisiatif

Terkini
28/9/22
Selangor

Utusan Malaysia: Tourism Selangor mahu rancakkan kembali industri pelancongan 2022

PETALING JAYA: Tourism Selangor akan menggunakan Hari Pelancongan Sedunia 2022 yang bertemakan Rethinking Tourism sebagai usaha untuk merancakkan kembali industri pelancongan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, ini selari dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia tahun ini, seperti yang diumumkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), akan tertumpu kepada pengolahan semula pertumbuhan sektor secara berskala.

Katanya, dalam tempoh lebih dua tahun, sektor pelancongan di seluruh dunia telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa dalam menghadapi kesukaran yang tidak dijangka akibat wabak Covid-19. Kini ekonomi dunia mula pulih, sektor pelancongan juga perlu bergerak dengan pantas bagi membangunkan semula dan memulakan pemulihan dan pertumbuhan, seiring dengan peralihan kepada endemik.

“Negeri Selangor teguh dalam membantu pemulihan ekonomi negara selaras dengan Agenda 2030 bagi Matlamat Pembangunan Mampan dengan menggubal dan menguatkuasakan dasar yang merangsang pelancongan mampan dengan mewujudkan pekerjaan serta mempromosikan budaya dan produk tempatan.

“Ini sejajar dengan misi  UNWTO bagi Hari Pelancongan Sedunia 2022, untuk mengutamakan masyarakat dan bumi ini dengan menyatukan kerajaan, perniagaan dan komuniti di sekitar dalam satu matlamat bersama bagi menjadikan industri pelancongan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM114.6 juta dari tahun 2021 sehingga tahun 2025 melalui beberapa inisiatif rangsangan ekonomi melibatkan pelbagai industri sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan ekonomi.

“Selangor Maritime Gateway, Kita Selangor, geran pelancongan, dan aplikasi mudah alih Go Selangor hanyalah sebahagian daripada langkah kerajaan negeri yang telah dilaksanakan bagi merancakkan industri pelancongan negeri.

“Hasilnya, Selangor telah menyaksikan peningkatan dalam bilangan pelawat domestik, dan setakat tahun 2021, negeri ini mempunyai bilangan pelawat domestik terbanyak—10.2 juta. Ini telah menunjukkan permintaan yang besar terhadap produk pelancongan Selangor yang menarik dalam sektor tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Azrul Shah berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Rangsangan Ekonomi Selangor bagi meningkatkan pelancongan domestik ke negeri ini melalui Kita Selangor 2.0. Sebanyak
RM 2.5 Juta telah digunakan melalui bantuan kewangan kepada persatuan pelancongan, Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan, Baucar Pelancongan dan Geran Bantuan Kewangan.

Katanya, Tourism Selangor telah mengekalkan keunggulannya dengan bekerjasama dengan peneraju industri yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang kaedah perniagaan yang inovatif dan mampu menjanjikan perkembangan baharu.

“Tourism Selangor telah menerajui pelbagai inisiatif promosi domestik dan antarabangsa, termasuk MATTA Fair, Jelajah Pusing Selangor Dulu, Malaysia Health Expo (MHX) 2022 di Indonesia, dan
sales mission ke Rusia, Turki, Uzbekistan dan Kazakhstan, serta acara berprofil tinggi seperti Kejohanan Golf Tourism Selangor.

“Ini menyumbang kepada pasaran khusus bagi pelancongan perubatan dan pelayaran bersama dengan Resort World Cruise. Tourism Selangor menyasarkan untuk meningkatkan pelbagai promosi Digital dan  Dalam Talian bagi meningkatkan kesedaran terhadap kempen domestik dan antarabangsa Pusing Selangor Dulu serta Splendid Selangor- Take Me Anywhere, selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang menyasarkan kepada pembangunan yang lebih mampan dan bergerak seiring dengan Tema Hari Pelancongan Sedunia 2022, dalam mengolah semula sektor pelancongan sebagai tonggak pembangunan mampan,” katanya. – UTUSAN

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.