Suara

Peristiwa
18/5/22
Isu
Selangor

Utusan Malaysia: HFMD - Penutupan taska, tadika di Selangor diputuskan minggu ini

HULU SELANGOR: Penutupan taska, tadika dan pusat jagaan harian di Selangor susulan peningkatan kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan khas dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi membincangkan isu kesihatan termasuk HFMD minggu ini.

Katanya, beliau setakat ini belum memperoleh maklumat terperinci dan laporan terbaharu mengenai penyakit berkenaan.

“Justeru, kita akan bermesyuarat dengan JKNS minggu ini bagi memperincikan statistik kes terbaharu HFMD itu.

“Keputusan sama ada untuk menutup sekolah atau tadika akan diputuskan selepas perbincangan khas itu nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Semanis Aidilfitri Bersama PKR Hulu Selangor di Antara Gapi di sini, petang tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash.

Kelmarin, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merekodkan sebanyak 6,748 kes HFMD di negeri ini yang kekal melebihi paras amaran.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman memaklumkan empat peratus daripadanya dimasukkan ke hospital bagi pemantauan lanjut manakala selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

Terdapat 118 kluster HFMD dilaporkan dengan 95 daripadanya melibatkan kluster di taska, tadika dan pusat jagaan harian, namun, tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan, pihaknya turut meminta kerjasama Jabatan Pendidikan negeri bagi membincangkan isu berkenaan kelak.

“Namun, ia bergantung sepenuhnya kepada tindakan dan saranan lanjut oleh JKNS kelak.

“Kita mengetahui kes penyakit berjangkit amat membimbangkan dan berharap ia dalam keadaan terkawal,” ujarnya.

Tambah beliau, sesi mesyuarat khas itu turut akan memfokuskan isu Covid-19, denggi dan penyakit rabies. –UTUSAN OJNLINE

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.