Inisiatif

COVID-19
27/8/21
Isu
Selangor
Bantuan
Sidang

Utusan Malaysia: ADUN Selangor dapat peruntukan RM200,000, tambahan RM50,000

SHAH ALAM: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor menerima sejumlah peruntukan tahunan iaitu sebanyak RM200,000 sama seperti tahun lalu.

Malah bagi tujuan membantu rakyat menghadapi pandemik Covid-19, sejumlah RM50,000 peruntukan tambahan diberikan yang sebelum ini digunakan dalam penganjuran program berkaitan rakyat seperti hari perayaan, majlis dan sebagainya.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, pemberian peruntukan itu adalah sama tanpa mengira sama ada ADUN itu berada di pihak kerajaan negeri ataupun pembangkang.

Katanya, bagi tujuan membantu rakyat, terdapat peruntukan lain disalurkan untuk program bakul makanan dan sebagainya yang diberikan kepada semua wakil rakyat dan pemimpin tempatan.

“(Selain peruntukan tersebut), kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10.03 juta sehingga 16 Ogos ini untuk program bakul makanan kepada semua ADUN, Ahli Parlimen negeri dan Majlis Perundingan Ketua Kampung (MPKK).

“Manakala dalam peruntukan program bakul makanan yang berasingan, kerajaan negeri turut membelanjakan sebanyak RM2.3 juta kepada kumpulan Orang Asli, pemandu bas sekolah dan teksi, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR), pemandu lori dan krew pembersihan KDEB Waste Management (KDEBWM), petani, peternak, nelayan dan pengusaha asas tani,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, di sini hari ini menjawab soalan yang diberikan ADUN Semenyih, Zakaria Hanafi berhubung isu peruntukan ADUN Pembangkang.

Selain itu, beliau turut menjawab soalan tambahan diberikan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping mengenai peruntukan tambahan dan Amirudin memaklumkan kerajaan negeri merancang untuk melaksanakannya.

“Namun, kita kembali kepada format asal kerana ada permintaan daripada (beberapa ADUN).

“Selain itu, tidak banyak program yang boleh dibuat ketika pandemik Covid-19 seperti keraian hari perayaan, majlis untuk rakyat dan sebagainya. Jadi, kita kekal untuk beri peruntukan tambahan RM50,000 sahaja,” katanya. – UTUSAN

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.